Friday, January 29, 2010

[Belum diberi Tajuk]


Ya Rahman, sering aku menjadi saksi
Melihat para  mujahidMu semakin tidak sehaluan
Berpecah dalam menegakkan ad-deen
Bercakaran di jalan memperjuang gerakan
Ego si mujahid semakin tinggi melangit
Walhal lama dulu pernah dia ikrarkan
Hidupnya  ini semata ingin memburu syahid

Ya Rahim, sungguh aku semakin lali
Menyaksi lunturnya semangat para mujahidahMu
Hanyut dalam lautan emosi
Menjauh dek pernyataan lemahnya jasmani
Hancur  dek kosongnya pengisian rohani
Sedang dia tahu pucuk pangkalnya dari segumpal daging itu
Yang bernama Hati
Dibiarnya Hati itu ditawan oleh nafsu cinta duniawi

Ya Rabbi,
Betapa lemah diri ini
Tidak terbanding dengan para mujahid dan mujahidahMu
Walau mereka  luntur semangat
Walau mereka cakar mencakar
Tetapi nyata mereka berjihad
Jihad mereka dalam barisan yang tersusun
Menyahut seruan dari kalamMu As-Saff

Maka siapalah diri ini untuk dibandingkan
Perjuanganku tidak pasti
Berjihad jauh sekali
Hidupku hanya untuk diriku
Tidak jemu ku berdoa dalam sujud dan solatku
Agar diberi hidayah dan kekuatan
Semoga beroleh kemenangan di dunia ini
Dan beroleh syafaat di hari pembalasan

Ya Tuhanku,
Aku merayu belas kasihMu
Kurniakanlah hidayah dan kekuatan kepada para mujahid dan mujahidahMu
Agar mereka tetap dan tabah di jalan ini
Ku ingin selalu mendengar tazkirah dari sang mujahid di rumah2Mu
Ku rindu mendengar nasihat2  indah dari para mujahidahMu
Kuatkanlah mereka Ya Allah
Kerana mereka adalah harapanku dalam mencari cahayaMu
Ketahuilah bahawa jauh di sudut hati ini
Ku juga ingin bersama menyelusuri jalan yang lurus itu
Bersama para mujahid dan mujahidahMu
Sebelum masaku tiba ke garis akhir

Nukilan,
Qalam ‘Aini (28 Januari 2010 / 12 Safar 1431H)


Tuesday, January 19, 2010

Tadabbur Pulau Lagenda 1 - Chenang Indah di Mata

 Bacaan basmallah mengiringi langkah ke pintu masuk feri. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Selama satu jam kami setia menantikan feri yang bernama ‘Lambaian 3’ namun akhirnya kami menjejakkan kaki ke dalam feri bernama ‘Labuan 7’. Lambaian 3 yang diumumkan akan tiba sedikit lewat dari masa yang dijadualkan oleh pihak pengurusan telah tiba lebih awal, di saat kami sedang menikmati hidangan tengahari. Kami terlepas Lambaian 3. Inilah yang dikatakan ‘kita merancang, juga Allah merancang, namun sebaik2 perancangan adalah perancangan Al-Khalik’. Wajah berseri selepas kekenyangan kembali muram dek tambahan make-up yang tidak diundang; ‘lipstick kuciwa terlepas feri’. Lebih kurang 1 jam 15 minit berlayar, kami tiba di Jeti Kuah, Langkawi pada jam 3.30 petang. Niat untuk jama’ taqdim segera ditukar kepada jama’ ta’khir. Ragu jika tidak sempat tiba ke destinasi sebenar sebelum asar. Setibanya kami di jeti, hati menunduk rasa syukur. Sang Helang gergasi kini berdiri megah di hadapan. Apakah yang menanti kami selepas ini?

...He- Lang Kawi..

  Tanpa mengikut jadual asal, kami berenam membuat keputusan untuk terlebih dahulu menjelajah Pantai Chenang. Kata tourist guider kami Abdullah, Chenang lebih cantik pada waktu malam . Memang benar pun cantik, sepanjang-panjang Chenang dipenuhi gerai yang tidak putus-putus di kiri dan kanan jalan. Cahaya lampu neon pelbagai warna yang terang benderang dan berkilauan memenuhi setiap ruang. Terasa seperti berada di sebuah kota di bahagian lain dunia. Apa yang menarik bagi diriku ialah setiap gerai mempunyai seni arkitektur yang tersendiri – salah satu minatku ada pada seni ini. Seni binanya yang sangat berbeza, nampak cocok dengan Langkawi yang terkenal sebagai Pulau Lagenda. Walaupun kami belum berpeluang menjelajah ke seluruh dunia, tetapi di sini kami sudah berpeluang melihat berbagai jenis dan rupa manusia dari segala ceruk rantau. Namun ada beberapa perkara yang membuat hati ini tidak senang; Chenang bukanlah seperti Pantai Tanah Melayu yang dipenuhi orang timur yang berbudaya lembut, tinggi dan mulia. Ia sebuah pantai dunia yang penuh dengan percampuran lelaki perempuan yang siangnya menjadi lapangan jemuran manusia, tua muda seperti dunia barat. Sekali pandang rasa macam berada di L.A seperti yang sering di tayang di kaca2 TV. Payah mencari orang Melayu tetapi senang menemui orang ‘Putih’, Melayu bukanlah putih, tapi sawo matang. Cuma bagi yang berkehendakkan dunia pastinya terkagum tidak sudah melihat keindahan Chenang ini.

Dengan keadaan sebegini adakah mudah bagi menjadikan Pulau Langkawi KEDAH Darul Aman, sebuah tempat yang mendapat keredhaan Ilahi? …bersambung






...akan datang, Insyaallah