Thursday, May 27, 2010

'tuturmu itu adalah ungkapan jiwamu'

Perhatikan teman-teman yang sedang dilamun cinta, dulu tuturnya tidaklah selembut ini bahkan sesetengahnya agak kasar juga, dulu tawanya berdekah-dekah dan lantang, tetapi kini semua itu semakin berkurangan. Dulu jika bertutur sesama teman hanya mengguna panggilan, ‘engko’, ‘aku’, paling sedap didengar ‘saya’, ‘kamu’ atau ‘awak’. Kini sudah lain sedikit, panggilan yang diguna juga sudah naik ‘standard’ kepada ‘dear’, ‘sayang’, ‘lalink’ dan apa-apa lagi perkataan manja dan lembut walau dengan teman sejenis. Inilah hasil penangan cinta yang terserlah melalui perbuatan dan pertuturan. Islam adalah agama Cinta, maka budi bahasa dalam Islam itu penting.


“Saya pernah beberapa kali bertemu dengan situasi di mana seorang yang kelihatan hebat dalam berpakaian, berserban, berjubah namun sifatnya begitu ironi dengan pakaiannya. Bahasa yang digunakan kasar bahkan pernah ada yang memarahi seorang penjual dengan bahasa yang cukup kasar dikeluarkan. Apa ertinya serban dan jubah jika tidak membawa jiwa Islam yang sebenar” Dr Azhar Sarip, Akhbar iluvislam, bil 13.

Celupar Tapi Hati Baik? Sinis Tapi Niat Suci?

Mungkin kamu akan kata tidak mengapa mulut celupar asalkan hati baik, tidak mengapa sinis sedikit kerana yang penting niat suci dan murni. Perkara sebenarnya yang kita sepatutnya fahami ialah keceluparan itu datang dari hati yang tidak tenteram. Ia datang dari keegoan yang tinggi.

Ego adalah halangan rasa paling tebal dan paling tinggi. Apabila kita rasa kita mempunyai lebih ilmu daripada orang lain, maka kita mula bertutur dalam bahasa yang terkandung ego yang tinggi. Apabila kita kasar dalam berhubungan sesama insan, secara lumrahnya kita juga akan kasar dalam berhubungan dengan Maha Pencipta. Takbiratulihram kedengaran keras sekali, membaca ayat-ayat suci dengan tergesa-gesa, berdoa pula dengan nada yang kasar.

Bahasa yang kasar lagi ego tidak memberi ketenangan dalam solat kerana semua pergerakan akan menjadi laju. Jika solat tidak dapat beri ketenangan, dimana lagi ketenangan jiwa dapat diperoleh?

“Kita sering mengatakan yang kita menCintai Allah SWT tetapi mungkin hanya dengan pakaian tetapi tidak dengan rasa. Buktinya lihatlah dari sikap bahasa kita. Jika bahasanya masih kasar, nadanya masih tinggi, lenggok bahasanya masih ego maka rasa cinta itu hanya ucapan dibibir dan mungkin hanya kerana cara berpakaian. Hakikatnya semakin tinggi kedudukan seseorang disisi Allah SWT, maka semakin lunturlah egonya, semakin lembutlah bahasanya, semakin terserlah budi bahasanya” Dr Azhar Sarip, Akhbar iluvislam, bil 13.

Pilihlah kata-kata yang sesuai dan manis demi melatih diri dan jiwa. Berdiam dirilah seandainya merasakan perkataan yang ingin kamu lontarkan adalah sia-sia atau mungkin akan mengguris hati yang mendengarnya…


Q’A: bahasa adalah bayangan ketenangan jiwa…diam adalah lebih baik…aduhai