Monday, October 31, 2011

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 4)

“Wa..waalaikumussalam..” Jawab Iqbal Hanina teragak-agak. Iqbal Hanina terpaku seketika, fikirannya ligat memikirkan adakah benar apa yang dilihatnya, seakan tidak percaya. Dia, dan pemuda itu, di tempat ini. Namun dia bijak menyembunyikan kekalutan fikirannya di sebalik senyuman yang terukir di bibir. Langsung tidak terlintas difikirannya akan pertemuan itu. Kafe yang saat itu bising dengan pelanggan yang keluar masuk dirasakan hening seketika. ‘Allahumma solli ala Muhammad..Allahumma solli ‘ala Muhammad..’ , Iqbal Hanina mengulang-ulang selawat di dalam hati. Itulah cara Iqbal Hanina saat berhadapan dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka dan saat-saat dia berada dalam kekalutan fikiran. Pemuda itu masih tersenyum memandangnya.
Abdullah Wafi, seorang pemuda yang memiliki pandangan mata yang redup dan sentiasa murah dengan senyuman. Permulaan perkenalan mereka adalah pada 5 tahun yang lepas. Pada mulanya Iqbal Hanina tidaklah begitu mengenalinya, dia hanya mengetahui tentang Abdullah Wafi dari sahabat-sahabatnya. Mereka sering berbicara tentang akhlak Abdullah Wafi, solatnya yang sentiasa di masjid, sentiasa menjaga pergaulan dengan dengan rakan-rakan wanita. Kata mereka, Abdullah Wafi tidak pernah berbicara dengan rakan-rakan wanita melainkan atas urusan perbincangan pelajaran, apatah untuk duduk-duduk bersembang bersama-sama rakan-rakan wanita di kafe atau di mana-mana seperti pelajar lelaki lain. Setelah kerap kali mendengar cerita tentang Abdullah Wafi, terdetik di hati Iqbal Hanina untuk mengenalinya lebih dekat. Baginya sekadar cerita-cerita begitu belum lagi membuktikan apa-apa, ‘Aduhai, manusia boleh memuji dan mengeji dalam beza waktu sesaat sahaja’, itulah yang terdetik di hatinya. Jauh di sudut hati juga, dia ingin melihat sendiri apakah benar semua cerita yang dikongsikan oleh sahabat-sahabatnya ataukah hanya sekadar indah khabar dari rupa.
**********************************************************************************
Jam menunjukkan pukul 7.56 minit pagi. Iqbal Hanina melangkah laju-laju menuju bilik tutorial. Kelas akan bermula sebentar saja lagi. Pagi ini kelas Bahasa Inggeris bersama Teacher Neena. Minggu lepas Teacher Neena sudah memaklumkan kepada semua bahawa hari ini dia mahu adakan pembentangan karangan hasil pelajaran kelas minggu lepas, maka semua pelajar dikehendaki datang lebih awal dari biasa. Bangunan tutorial belum lagi kelihatan di pandangan mata. “Jauh lagi, aduh, sempat tak aku nih?” Keluh Iqbal Hanina dalam hati. 5 minit kemudian, akhirnya dia menjejakkan kaki di depan bilik tutorial. “Okey, tarik nafas, relaks..relaks..”, dia berbicara sendiri di depan pintu bilik. Tanpa dia sedari ada yang memerhati gelagatnya di belakang. “Ehem..”, Iqbal Hanina tersentak mendengar suara dari belakang lantas terpacul spontan perkataan dari bibirnya, “Oh mak kau terkejut!” Pelajar lelaki tersebut tersenyum geli hati melihat gelagat Iqbal Hanina. Merah padam wajahnya saat itu rasa mahu disorok saja dalam beg bersama buku-buku. Cepat2 dia menolak daun pintu melangkah laju-laju menuju ke tempat duduk. Pelajar lelaki tersebut turut melangkah ke dalam kelas namun langkahnya kelihatan begitu tenang tidak seperti dirinya.Teacher Neena sudah hadir lebih awal. Bertambah-tambah lagi malu kerana datang lewat. Kelas bermula dan seperti yang dijanjikan Teacher Neena mahukan setiap pelajar membacakan hasil tulisan masing-masing. Tibalah giliran pelajar lelaki tersebut. Dia memulakan bicara dengan ucapan salam dan basmallah. Iqbal Hanina terpaku. Dia tidak pernah melihat cara pembentangan yang begitu dari kalangan rakan sebayanya. Lagi-lagi semasa kelas Bahasa Inggeris, semuanya sudah pasti dengan cara kebaratan termasuk kata-kata aluan dan sapaan. Pelajar lelaki itu membaca bait demi bait tulisannya dengan lancar. Baris demi baris dibaca dengan begitu tersusun. Tidak laju dan tidak juga lambat. Menyusup rasa tenang ke dalam hati saat melihatnya dan mendengar setiap patah perkataannya. Iqbal Hanina memasang telinga mendengar bisikan-bisikan temannya, “Weh Iqbal, best giler la dia baca..karangan dia biasa je kan tapi dia baca tu tenang je aku dengar, memang sempoilah bahasa dia..”, salah seorang temannya berbisik ke telinga Iqbal Hanina diiringi ketawa kecil. Tanpa sebarang respon, Iqbal Hanina mengangguk-ngangguk tanda setuju sedang pandangannya masih fokus kepada pelajar yang sedang bercakap di hadapan kelas saat itu. Jauh di sudut hati dia rasa kagum dan malu sendiri. Sedangkan dirinya dan teman-teman perempuannya tidak langsung punya ciri sebegitu, jauh panggang dari api. Saat mereka bersama, sekejap-sekejap mengusik, sekejap-sekejap melatah, sekejap-sekejap ketawa berdekah-dekah, sekejap-sekejap menyindir dan mengata si fulan fulanah, sekejap-sekejap ada saja hati yang mereka lukai dengan bahasa-bahasa mereka yang ‘sopan’ itu. Langsung tidak ada ciri-ciri sopan gadis timur. “Ni siape?”, tanya Iqbal Hanina kepada temannya. “Nama dia Abdullah Wafi..ehem2 Iqbal, apasal tanya pulak ni, berkenan ker?”, temannya mengusik diiringi ketawa kecil di belakang. Iqbal tidak ambil kisah dengan usikan begitu, dia sudah masak dengan sikap suka mengusik temannya itu. ‘Jadi dia inilah yang mereka sering perkatakan selama ni..’, bisik Iqbal Hanina di dalam hati.
5 tahun lepas, dia lebih dikenali dengan nama panggilan Iqbal. Nama Iqbal sering menjadi nama lelaki. Mungkin kerana itulah sifat dan perangainya lebih menyerupai lelaki, sedikit ‘tomboy’. Kadang-kadang  naluri wanitanya berbisik agar berubah ke arah yang lebih baik. Bak kata orang,’jadilah macam perempuan sikit’, namun naluri hanya tinggal naluri. Perangainya masih tidak berubah. Tomboy2 dia pun dia tidak bersosial. Itu prinsipnya dan teman-teman. Nakal mereka hanya dalam kalangan mereka saja. Tidak timbul soal berfoya-foya dengan lelaki, itu pantang. Kekurangan mereka dari segi adab pergaulan, cara pakaian dan cara hidup. Seringkali mereka yang dilabel ‘geng nakal’ itu hadir ke surau blok bagi mengimarahkan solat berjemaah maghrib dan isyak. Bahkan semakin lama geng mereka jadi semakin terkenal di surau, lebih terkenal dari ajk surau sendiri. Di situlah Iqbal Hanina mengenal sedikit sebanyak ukhuwah islam. Dil luar surau, di siang hari mereka tetap jadi diri mereka. Pada malam harinya mereka berjemaah dan berusrah di surau. Begitulah Iqbal Hanina dan sahabat-sahabatnya 5 tahun lepas. Tanpa disedari, amalan mereka pergi memeriahkan surau setiap malam telah membuahkan hasil yang sangat manis dalam hati mereka terutama pada Iqbal Hanina. Dia rasa tenang berada dalam majlis-majlis ilmu begitu. Benarlah bahawa manusia ini fitrahnya suka pada kebaikan, keindahan, dan ketenangan. Hanya saja terserah pada nafsu dan iman untuk menjadi penimbang arah langkah dan keputusan. Jika nafsu menjuarai carta, maka keindahan dan ketenangan dalam majlis ilmu hanya akan hadir di surau saja. Jika sebaliknya iman yang berjaya bertakhta di hati maka kemanisan rasa itu akan terus terbawa-bawa dalam amalan hidup seharian.
Benar sekali tulisan Syeikh Said Ramadhan Al-Buthy dalam Fiqh Sirah, “Islam itu bermula di masjid.”. Ya benar, fakta ini Iqbal Hanina hanya mengetahuinya setelah melangkah ke alam university. Jika kamu mahu cari Islam, pergilah ke masjid. Jika kamu mahu membina iman, pergilah ke masjid. Nak cari kawan, nak cari kerja, nak cari makanan, nak cari ilham dan ketenangan hati atau apa saja, pergilah ke masjid. Kerana di sana sudah pastinya terdapat majlis dan suasana yang akan membawa kamu kearah tujuan itu. Ia rumah Allah, maka tempat apakah yang lebih baik untuk kita kunjungi dan pasti akan dilayani dengan layanan terbaik selain rumah Allah yang Maha Kaya? Hanya masjid. Rasulullah s.a.w juga memanifestasikan fakta ini. Semasa hijrah Rasulullah s.a.w telah membina masjid pertama dalam sejarah Islam yakni Masjid Quba’. Setelah tiba di Madinah pula Rasulullah membina Masjid Nabawi. Di sanalah berpusatnya semua aktiviti Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Solat, syura, majlis ilmu, majlis keraian, perancangan perang, pentadbiran politik, pusat rujukan, pusat kewangan dan sebagainya semua bertempat di masjid. Hanya saja ummat terkemudian ini menganggap bahawa masjid sebagai tempat solat semata, tiada fungsi lain. Sunnah (perbuatan/perkataan) siapa lagi yang wajar kita jadikan panduan utama hidup selian sunnah manusia terbaik di muka bumi ini? Hanya Sunnah Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w,“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana jika kamu berpegang kepada keduanya nescaya tidak akan sesat selamanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.”
Waktu kelas semakin hampir ke penghujung namun belum semua pelajar berjaya membacakan karangan masing-masing. Lalu Teacher Neena membuat keputusan untuk mengadakan kelas tambahan pada malamnya. Terdengar keluhan-keluhan suara dari pelajar yang merasa keberatan untuk hadir. Kelas akan bermula selepas isyak jam 9 malam. Usai solat isyak di bilik, Iqbal Hanina dan teman-temannya melangkah perlahan menuju ke kelas. Hari ini mereka tidak solat di surau atas alasan takut terlambat hadir ke kelas. Mereka tiba 20 minit lebih awal. Sudah pastinya masa yang ada tidak disiakan begitu sahaja, mereka gunakan untuk bersembang-sembang sesama mereka, buka kedai kopi orang kata. Di satu sudut geng Iqbal Hanina ber’muzakarah’. Di sudut lainnya geng pelajar lelaki juga bermuzakarah dengan khusyuknya. Tidak lama kemudian seorang pelajar lelaki melangkah masuk ke kelas. Dia Abdullah Wafi. Kelihatannya seperti baru saja selesai solat berjemaah di surau yang berhampiran dengan bangunan tutorial. Dengan berbaju melayu, berseluar slack, berkupiah dan memakai capal. Penampilannya kelihatan berbeza sekali dengan pelajar lelaki lainnya yang hanya memakai t-shirt berlambang entah apa-apa dan berseluar track saja serta berselipar jepun. Melihat kehadiran Abdullah Wafi itu tiba-tiba seorang pelajar lelaki bersuara, “Wei, banjir ke kelas kita ni??” diiringi dengan hilai tawa dari pelajar lelaki lainnya. Iqbal Hanina terus berpaling ke arah suara itu, tidak semena terus menyirap darahnya ketika itu, entah kenapa..

Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 31 Okt 2011 / 3 Zulhijjah 1432H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..Bahagian 4..(terhasil setelah memaksa jari untuk menaip). Jom menaip paper jurnal bersama cerpen..he..(^_^)