Wednesday, July 25, 2012

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 5)

Zzzasss! Terasa panas telinganya mendengar kata-kata perlian yang ditujukan oleh rakan sekelas kepada Abdullah Wafi. Walhal perlian itu bukanlah ditujukan kepada dirinya namun dia cukup-cukup terasa pedih dengan perkataan ‘banjir’, entah kenapa. Iqbal Hanina sukar untuk bersangka baik dengan gurauan. Sekali dengar ia hanya seperti gurauan biasa. Abdullah Wafi hanya tersenyum. Berderu hilai tawa pelajar-pelajar lelaki memenuhi ruang kelas mendengar gurauan. Abdullah Wafi tenang mengambil tempat duduk sambil menepuk mesra bahu rakan-rakannya. Hal itu diperhatikan oleh Iqbal Hanina dari jauh. Pandangan matanya jatuh terpaku ke lantai mencari erti terhadap apa yang sedang dialaminya.
“Astaghfirullaahal’adzim. Baiknya hati dia. Aku pula, ah....”, Iqbal Hanina monolog sendiri. Hadir rasa sebak tiba-tiba di pangkal hatinya, antara menahan sedih dan menahan amarah. Mindanya ligat menayang bait-bait ayat yang pernah dibacanya tentang etika pakaian yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. 


Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jauhilah isbal (pakaian yang labuh melebihi buku lali) kerana ia termasuk dalam perkara kesombongan” (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud).
Dalam hadith ini disebut secara jelas bahawa memakai pakaian labuh yang menutup buku lali bagi lelaki adalah perbuatan orang yang sombong kepada Allah s.w.t (walaupun dia tidak sombong kepada sesama manusia). Begitu juga orang yang tidak menyembah Allah ialah orang yang sombong kepada Allah dan boleh membawa kepada azab neraka.
“Orang yang solat dalam keadaan isbal (labuh lebih buku lali), tidaklah dalam keadaan dihalalkan dan tidak pula dalam keadaan yang diharamkan Allah” (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud). Maksud hadith ini orang tersebut tidak beriman kepada perkara yang Allah halalkan dan yang Allah haramkan.
Kebanyakan ulama berpendapat lelaki yang bersembahyang dengan memakai kain menutupi buku lali tidak diterima sembahyangnya. Cuma seorang ulama dari India berpendapat bahawa “tidak diterima solat” itu bermaksud “tidak diterima untuk diberi pahala penuh”. Oleh itu berhati-hatilah agar sembahyang kita diterima Allah s.w.t. dan lipatlah kain seluar agar tidak menutupi buku lali.
“Iqbal, weh, Iqbal!”, Iqbal Hanina tersentak apabila bahunya dicuit oleh sahabat di hadapannya. Dia mendongak dan memandang kosong wajah sahabatnya lalu dibalas oleh si sahabat dengan muncungan mulut memberi isyarat ke depan. Saat Iqbal berpaling memandang  ke depan dia terus terlopong.  Waduh! Teacher Neena yang baru saja beberapa minit tiba ke kelas sedang  memandang pelik kepadanya. Waduh! Dengan kalut sekali Iqbal Hanina membetulkan kedudukan kerusi kedai kopi daripada membelakangi Teacher Neena kepada posisi sepatutnya. “Panjang termenung ye cik adik..he he..”, Iqbal Hanina tersengih malu-malu kucing dengan usikan sahabatnya. Kelas pun bermula dengan sambungan penyampaian essei bagi sesiapa yang belum membentangkan essei.
Usai kelas, Iqbal Hanina dan kawan-kawan berlenggang menuju ke asrama. Di sepanjang jalan mereka bersembang dan berbual sambil ketawa. Komen-komen terhadap kesalahan ayat dab teknik teman kelas semasa pembentangan berpindah dari bibir ke bibir diiringi gelak ketawa. Dek kerana terlalu gugup, salah seorang pelajar lelaki kelas mereka memulakan pembentangannya dengan ayat “Good Morning everybody..!” dengan begitu yakin.  Iqbal Hanina hanya tersenyum melihat gelagat sahabat-sahabatnya dan kadang-kadang turut tertawa bersama. Fikirannya teringat semula kepada peristiwa Abdullah Wafi sebentar tadi. Pertama kali dia melihat seorang pemuda yang cuba mengamalkan etika pakaian dari hadis Nabi s.a.w dan dia adalah Abdullah Wafi. Mahu saja dia menempelak gurauan pelajar lelaki kelasnya bahawa cara Abdullah Wafi melipat kaki seluarnya sehingga ke buku lali itu adalah sunnah. Gurauan ‘banjir’ sebegitu adalah keterlaluan dan tidakkan dia menyedari bahawa dia telah menyindir Nabi s.a.w?! Namun apabila dia terbayang raut wajah dan senyuman Abdullah Wafi dia jadi keliru. Hari ini Abdullah Wafi telah mengajarnya erti dua perkara iaitu,
'Bersangka baik dan Hikmah.'
Alhamdulillah. Itulah sebenarnya perkara yang perlu dipelajari oleh Iqbal Hanina. Boleh jadi pelajar lelaki yang membuat gurauan sebegitu tidak pernah mengetahui hadis Nabi s.a.w tentang cara berpakaian sebegini dan dia tidak berniat untuk mempersendakan Nabi s.a.w. Astaghfirullahal’adzim.
Setibanya di bilik Iqbal Hanina disambut dengan senyuman oleh rakan sebiliknya dan dibalas juga dengan senyuman. Di terus mencapai telefon bimbit untuk memeriksa jika ada panggilan dari ibunya.
3 Missed Calls’ terpapar di dada telefon bimbit. Iqbal Hanina mengukir senyum. Dia tersengih-sengih sendiri dan terus membelek-belek telefon bimbitnya melihat panggilan. Ada dua panggilan dari ibu dan 1 panggilan dari nombor yang tiada dalam senarai nama. “Siapa ni ye?”, Iqbal Hanina cuba mengingat-ingat adakah terdapat sahabat-sahabatnya yang mengguna nombor baru. Dengan pantas dia menaip mesej,
“Assalamu’alaikum. Ni no siapa ya? Maaf xde dlm simpanan sy. Masa call td sy x bw hp..”
..SENT..
Usai menghantar mesej Iqbal Hanina meneruskan misi untuk ‘bergayut’ dengan ibunya. Rakan-rakan sebilik sudah maklum dengan Iqbal Hanina yang sangat rapat dengan ibunya. Setiap hari dia akan bercakap-cakap dengan ibunya di talian. Selepas ibu dia akan berbual dengan adik lelaki, dan kemudian adik adik perempuannya. Itulah rutin harian Iqbal Hanina. Dekat dengan keluarga membuatnya rasa bahagia. Hampir satu jam mereka berbual. Iqbal Hanina tersenyum puas. Ceria mendengar suara ibu dan adik-adik di rumah. “Ehhem, lamanya bergayut dengan boyfriend ye..”, rakan biliknya bersuara menyakat bila melihat Iqbal tersenyum-senyum sendirian. “He he.. Ye la, rindu kat boyfriend, awak ada?”, Iqbal menguji. “Alah, masalahnya tak cukup umur lagi, kalau dah cukup umur boleh jugak saya pinang melalui akaknya.”, balas temannya sambil tersenyum. Dia sedia maklum bahawa Iqbal Hanina tidak mempunyai boyfriend dan yang dimaksudkan boyfriend oleh Iqbal Hanina itu adalah adik lelakinya yang baru berusia 14 tahun. Iqbal Hanina tergelak mendengar jawapan temannya itu.
Tet tet..
Satu mesej masuk ke inbox telefon bimbit Iqbal Hanina. Mesej tersebut berbunyi,
“Wa’alaikumussalam. Mmg no sy xde dlm simpanan awk,hehe. Sy student kuliah F2. Boleh kita berkenalan?”
Melihat pada gaya penulisan mesej Iqbal Hanina yakin pemilik nombor ini adalah lelaki. Fikirannya berputar-putar satu paksi. “Aduh, nak balas ke taknak??”, Iqbal Hanina termenung memandang kotak mesej..


Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 25 Julai 2012 / 5 Ramadhan 1433H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..Bahagian 5..(^_^)