Sunday, September 21, 2008

Memburu LailatulQadar...

Ketika Ramadhan memasuki penggal ketiganya belum ramai yang mempunyai kesedaran untuk bangkit menggandakan amal ibadah. Tetapi bila sahaja tiba 10 malam terakhir, kita seakan terdorong secara automatic untuk bangun qiamullail, menggandakan doa (macam-macam doa pula yang lahir masa ni), menambahkan kuantiti bacaan al-quran, meningkatkan kualiti solat dan lain-lain lagi yang kalau boleh semuanya ingin ditingkatkan (tidak termasuk meningkatkan kuantiti tidur).

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi s.a.w kepada isteri tercinta Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"


Inilah tugas utama kita di 10 malam terakhir Ramadhan. MEMOHON KEAMPUNAN. Kalau boleh, kesalahan yang paling kecil pun semuanya kita pohon ampun. Terambil duit adik tanpa kebenarannya pun pohonlah ampun. Silap-silap itu masuk kategori mencuri. Apatah lagi dosa-dosa yang nyata disebutkan hukumannya dalam al-Quran. Jangan kita lupa, janji Allah itu pasti. Setiap pekerjaan anak Adam itu ada balasannya. Tidak termampu untuk kita menanggung azab nerakaNya kelak.

Jadi bagaimana nak pastikan kita ‘dapat’ atau tidak malam lailatulqadar? Banyak tanda-tanda yang telah diceritakan kepada kita. Tidak perlulah dihuraikan lagi. Sudah dipastikan ia hadir pada 10 malam terakhir Ramadhan. Masa sekolah rendah dulu ustazah saya pernah cerita kisah seorang pemuda yang mandi pada waktu malam di sebatang sungai. Kebetulan malam itu malam lailatulqadar, semua pohon sujud dan merendahkan dahannya. Pemuda itu menyangkut bajunya pada sebatang pokok yang sujud ketika itu. Selepas mandi pemuda itu terkejut kerana bajunya tadi sudah berada di puncak pokok. Terhairan-hairan pemuda itu memikirkan keajaiban yang berlaku. Sudahlah mandi air yang hampir sejuk beku, baju pula tak ada (sian kat dia...) Lebih menyedihkan lagi, pemuda tersebut langsung tidak menyedari malam itu adalah malam lailatulqadar. Akhirnya dia terlepas peluang pahala ibadat selama 1000 bulan. Cerita ini sebenarnya satu motivasi buat kita untuk sama-sama memburu lailatulqadar. Memetik tulisan Ustaz Zaharuddin “Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.”

Waktu berkat lagi makbul lailatulqadar tidak terhad kepada beberapa saat atau minit atau jam, kerana ia adalah luas sepanjang malam, firman Allah:
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )


Beribadahlah dengan seikhlasnya di 10 malam terakhir ini. Hakikatnya lailatulqadar adalah HADIAH DARI TUHAN MAHA PENYANYANG buat hamba yang sentiasa berusaha tanpa jemu untuk mencapai redha Allah. Semoga kita semua sama-sama berusaha untuk mendapat keampunan dari Allah swt. Allahuakbar…

No comments: