Thursday, May 19, 2011

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 3)

“Alhamdulillah..” terluah ungkapan syukur Iqbal Hanina setelah dapat menikmati susu hidangan Milky Way. Ia percuma. Sudah hampir setengah jam dia di Milky Way, menikmati hidangan perlahan-lahan sambil berfikir. Perancangan perjalanannya selepas ini masih samar-samar di peta minda. Jujur dia sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya di bandar besar ini yang dia sendiri tidak pasti di mana, namun sepertinya dia juga pernah menjejakkan kaki di sini. Mungkin déjà vu pun boleh berlaku dalam mimpi, desis hatinya. Buku nota yang dibawa bersama-sama sejak tadi dibuka. Iqbal Hanina menyelak helaian buku nota itu satu persatu sambil membaca catatan-catatan yang tertulis. Tangannya terhenti di satu muka surat.
‘Allah..Muhammad..Allah..Muhammad..’
Perkataan-perkataan tersebut ditulis berselang seli. Sepenuh muka surat dipenuhi oleh dua perkataan itu. Dan Iqbal Hanina kembali teringat kisah disebalik dua perkataan itu. Asbab mengapa ditulisnya 2 perkataan itu sepenuh muka surat kembali segar dimindanya. Saat itu pipinya terasa panas, matanya terasa pedih. Jiwanya menjadi sebak tak tertahan, namun dia cuba mengawal sepenuh dayanya agar tak tertumpah air dari matanya dek menyedari bahawa dirinya berada di tempat awam.
Tatkala rombongan niaga Siti Khadijah sedia berangkat, Maisarah ketua rombongan berkata, “Wahai Muhammad, pakai baju bulu dan pegang bendera rombongan. Engkau berjalan di depan, menuju ke negeri Syam!
Muhammad melaksanakan perintah yang diberikan kepada baginda. Selepas mereka keluar dari halaman menuju jalan raya, tanpa sedar Muhammad kembali menangis. Tiada siapa pun yang melihat tangisannya kecuali Allah dan para malaikat-Nya. Daripada mulutnya terucapm suara kecil, “Aduhai nasib! Di mana gerangannya ayahandaku Abdullah, di mana gerangannya bondaku Aminah. Kiranya mereka menyaksikan nasib yang menimpa anakandanya yang miskin yatim piatu ini lantaran ketiadaan mereka, sehingga menyebabkan anakanda mereka menjadi buruh upahan ke negeri yang jauh. Aku tidak tahu apakah aku dapat kembali lagi ke negeri tanah tumpah darahku ini.”
Jeritan batinnya itu membuatkan para malaikat dilangit bersedih. Mereka meminta rahmat daripada Allah kepada baginda..
Tanpa sedar pipi mulusnya dibasahi air mata yang seakan tidak mahu berhenti mengalir. Allahu Allah. Saat itu Iqbal Hanina sudah tidak mampu lagi meneruskan pembacaannya. Terasa jiwanya bagai dihiris-hiris, hatinya terasa pedih sekali saat mengetahui kisah Habibullah insan Agung ini. Satu perkara yang paling melemahkannya ialah kisah ini. Namun sebenarnya kisah ini jugalah yang telah menguatkannya. Hanya Allah mengetahui betapa kasihnya dia terhadap insan agung ini. Dua orang lelaki yang teramat dia cintai dalam hidupnya, kedua-duanya bernama ‘Muhammad’. Persamaan keduanya bukan sekadar pada nama, tapi keduanya juga teramat dekat dihatinya walau pada zahirnya keduanya sudah berada terlalu jauh darinya. Namun hari itu Iqbal Hanina tidak mahu menangis lagi, lalu dia mengambil pena dan buku catatan ini, dan tertulislah apa yang telah tertulis di buku nota itu hari ini. Usahanya kelihatan seperti berhasil, kerana setelah habis satu muka surat, airmatanya kering sendiri. Iqbal Hanina tersenyum sendirian mengingat masa lalu.
‘Nabi Muhammad saw insan agung, seorang  yatim piatu. Hidupnya sedari kecil susah dan setelah dewasa juga penuh dengan ujian. Namun akhlaknya adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Imbalan sabar terhadap ujiannya maka Allah mengasihi baginda, digelar Habibullah juga kekasih bagi para hamba yang mencintai Allah.’
Iqbal Hanina sentiasa mengingatkan dirinya tentang kisah Rasulullah ini berulang kali sebagai muhasabah buatnya. Sedari umur 6 tahun dia sudah belajar berdikari sendiri tanpa seorang insan yang bernama ayah. Setiap kali pulang dari sekolah, dia memerhati para sahabatnya yang dijemput oleh ayah mereka. Namun dia tidak sedikit berasa cemburu kerana ibunyalah telah mengganti tempat ayah, seorang ibu yang mampu memberinya yang terbaik, seorang ibu yang juga ayah. Sehingga kini dia masih terasa kucupan terakhir ayah di dahinya, masih teringat manis senyumannya dan masih terngiang pesanannya. Dan itulah kali terakhir dia melihat ayahnya saat ayah menghantarnya ke sekolah pada pagi itu. Pada petangnya, dia mendapat berita ayahnya sudah kembali ke rahmatullah.
Realitinya dia merasa dia lebih kuat pada waktu kecilnya berbanding sekarang. Apalah yang mampu difahami oleh seorang anak kecil tentang erti kehilangan. Setelah meningkat dewasa, dia mula memahami erti rindu, erti kasih sayang terhadap seorang ayah. Hatinya lebih sensitif terhadap apa jua bentuk kehilangan. Dalam usrah atau majlis ilmu yang menceritakan tentang anak yatim, dia amat menghayatinya. Betapa banyak firman  Allah memerintahkan hambanya untuk berbuat baik terhadap anak yatim dan tidak kurang juga hadis Nabi Muhammad saw tentang itu. Bila dia melihat pada dirinya sendiri yang juga mempunyai ‘title’ anak yatim, dia sangat mudah untuk faham hikmah tentang ayat-ayat Allah dan hadis Nabi ini. Dia akui pada saat begitu hatinya sangat mudah tersentuh, dalam hatinya dia menangis sendiri. Seorang anak yatim tidaklah mendambakan harta yang melimpah ruah kerana mereka adalah golongan yang telah dilatih tabah sejak kecil sebab itu Allah memilih mereka. Bagi Iqbal Hanina, harta bukan masalah besar bagi anak-anak yatim diluar sana dek masyarakat yang sangat prihatin pada masa kini, yang mudah menghulur bagi yang memerlukan. Apa yang mereka perlukan  sebenarnya ialah ‘pengganti kasih sayang’ yang telah hilang dari mereka. Itulah sebenarnya ‘harta’ yang diperlukan mereka..
Jika kamu ingin melembutkan hatimu, “ demikian sabda Rasulullah yang pernah dia dengar, “ maka usaplah kepala anak yatim…”
Subhanallah, erti yang disampaikan baginda itulah yang sebenarnya  seorang anak yatim perlukan. Iqbal Hanina mula belajar untuk menyayangi insan di sekelilingnya sepenuh hati, kerana dalam hidupnya sejak berumur 6 tahun, itulah yang dia cari, ‘kasih sayang’. Dengan memberi, dia bahagia, dengan menyayangi dia rasa sempurna. Syukur Alhamdulillah, kerana Allah mendidiknya dengan jalan ini.
‘Manusia masih boleh hidup tanpa harta, tapi akan menjadi mayat hidup tanpa kasih sayang.’
Ya Rasulullah, sesungguhnya pada dirimu itu terdapat contoh teladan terbaik buat ummat.
“Assalamualaikum, Iqbal Hanina..??” Satu suara menerpa ke telinganya. Dia mendongak, terkesima. Wajah seorang pemuda yang sedang berdiri dihadapannya itu seakan pernah dilihatnya sebelum ini, tapi dimana...

Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 19 Mei 2011 / 16 Jamadil Akhir 1432H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..akhirnya ada rezeki untuk keluarkan bahagian 3..(^_^).. S.E.L.A.M.A.T.M.E.M.B.A.C.A.

Sunday, May 15, 2011

Mendengar..Guru Belahan Jiwa


Guru belahan jiwa
Kekasih yang sempurna
Akhlaqmu mempesona 
Duhai bulan purnama

Bunga-bunga bersemi di atas tanah suci
mekar indah nan wangi cintamu kan abadi

Keseluruh penjuru kau tegarkan agama
jagad raya gempita menyambut akhlaq mulia

Kunyanyikan lagumu dengan senandung rindu
kekasih yang ditunggu wahai kau Mahaguru

Berlimpahnya cintamu mulianya ajaranmu
tumbuh subur di qolbu jantung darah dagingku

Guru jalan hidupku hingga akhir hayatku
ku ikut agamamu jangan tinggalkan daku

Maju bangkit lah jiwa hati penuhi cinta
maju bangkit lah jiwa hati penuhi cinta
jangan lah kau tergoda oleh syurga dunia
karena tujuan kita hanya Dia semata

Wahai para perindu tetapkanlah langkahmu
menuju sang petunjuk jalan lautan biru
tuk menggapai fitrahmu makna kesucianmu
tuk menggapai fitrahmu makna kesucianmu

Guru belahan jiwa
Kekasih yang sempurna

Akhlaqmu mempesona
Duhai bulan purnama

Dalam menghayati lirik lagu ini bait demi bait, ternyata ia bukan lagu untuk sebarangan guru.. Ianya  lagu istimewa dedikasi untuk seorang guru yang juga murabbi ummat..(^_^).. Selamat Hari Guru..

Q'A: Specially dedicated to best invisible follower..^^

Saturday, May 7, 2011

Khas buat Ibuku

~Tinta Hati~
4 JamadilAkhir 1432H/ 7 Mei 2011

Hujan meniti senja,
Turun bak butiran mutiara 
Mengiringi bayang satu Wajah
Menitis membasahi rerumput hijau lembah Damai ini..
Terbayang,
Satu wajah penuh Cinta
Satu wajah penuh Kasih
Satu wajah penuh dengan Kehangatan..
Hakikat,
Jika ada insan yang paling tulus Cintanya
Jika ada insan yang Menyayangi sepenuh jiwanya
Jika ada insan yang tidak pernah jemu meRindu
Jika ada insan yang akan tetap Setia berdiri di sisiku
Dia lah yang punya Wajah itu..
Pena Mataku,
Sudah tidak sabar ingin menumpahkan dakwat
Menukil rahsia Kasih Agung dua jiwa
Sedang hati kian rawan membisu
Mengimbas detik bersama satu persatu..
Dia anugerah Ilahi,                
Pagi  pasti ceria pabila mendengar suaranya
Hari-hari terasa sempurna hanya dengan menatap Wajahnya
Sebaris  senyuman di bibirnya penawar mujarab hati duka..
‘Andai diberikan emas permata, kupilih senyumanmu’
Ibu, kau permata jiwaku..
Kini,
Bila berjauhan baru terasa
Betapa Indah saat bersama
Buat kesekian kalinya, kunukil puisi Cinta ini
Sebagai tanda Kasihku padanya..
Pastilah ia tidak sehebat Kasih Uwais Al Qarni
Tidak juga sehebat kasih Abdullah Umar
Yang sedia berkorban jiwa demi Ibunda
Tuhan,
Kumohon masa, peluang dan kekuatan
Untuk sentiasa dan terus menerus menghadiahkan
Hadiah terindah buatnya
Setangkai doa setiap usai solatku
Sejambak ingatan kasih dan rindu di setiap hariku
Serimbun kebajikan untuk dunia dan akhiratnya sepanjang hidupku
Akan terus aku perjuangkan dengan izinMu
Untukmu duhai Ratu hatiku
Demimu wahai Ibuku..
Demi jiwaku yang berada ditanganNya, 
Aku amat menyayangimu..
Ya Allah,
Aku bersaksi bahawa ibuku telah benar-benar membahagiakanku
Izinkanlah pula aku untuk membahagiakan dirinya..
Ameen..



Q’A:
“..ada masa-masanya juga ‘homesick’ ni..”
Aini teringat bait-bait mesej kepada seorang sahabat..’Ada masa-masanya..?’ Aduhai, adakah rindu Aini pada keluarga hanya pada masa-masanya, sedangkan keluarga tidak begitu? Adakah rindu Aini pada ibu hanya pada masa-masanya sedangkan rindu ibu terhadap diri ini setiap hari? Buat insan mulia yang bernama Nor Azizah binti Awang, anakmu menghadiahkan nukilan istimewa ini untukmu (walau ini bukanlah puisi  pertama yang kuhadiahkan buatmu, he he..). Setiap hari ialah hari Ibu, khas buat Ma, SeLaMat Hari Ibu..(^_~)