“Alhamdulillah..” terluah ungkapan syukur Iqbal Hanina setelah dapat menikmati susu hidangan Milky Way. Ia percuma. Sudah hampir setengah jam dia di Milky Way, menikmati hidangan perlahan-lahan sambil berfikir. Perancangan perjalanannya selepas ini masih samar-samar di peta minda. Jujur dia sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya di bandar besar ini yang dia sendiri tidak pasti di mana, namun sepertinya dia juga pernah menjejakkan kaki di sini. Mungkin déjà vu pun boleh berlaku dalam mimpi, desis hatinya. Buku nota yang dibawa bersama-sama sejak tadi dibuka. Iqbal Hanina menyelak helaian buku nota itu satu persatu sambil membaca catatan-catatan yang tertulis. Tangannya terhenti di satu muka surat.
‘Allah..Muhammad..Allah..Muhammad..’
Perkataan-perkataan tersebut ditulis berselang seli. Sepenuh muka surat dipenuhi oleh dua perkataan itu. Dan Iqbal Hanina kembali teringat kisah disebalik dua perkataan itu. Asbab mengapa ditulisnya 2 perkataan itu sepenuh muka surat kembali segar dimindanya. Saat itu pipinya terasa panas, matanya terasa pedih. Jiwanya menjadi sebak tak tertahan, namun dia cuba mengawal sepenuh dayanya agar tak tertumpah air dari matanya dek menyedari bahawa dirinya berada di tempat awam.
…
Tatkala rombongan niaga Siti Khadijah sedia berangkat, Maisarah ketua rombongan berkata, “Wahai Muhammad, pakai baju bulu dan pegang bendera rombongan. Engkau berjalan di depan, menuju ke negeri Syam!
Muhammad melaksanakan perintah yang diberikan kepada baginda. Selepas mereka keluar dari halaman menuju jalan raya, tanpa sedar Muhammad kembali menangis. Tiada siapa pun yang melihat tangisannya kecuali Allah dan para malaikat-Nya. Daripada mulutnya terucapm suara kecil, “Aduhai nasib! Di mana gerangannya ayahandaku Abdullah, di mana gerangannya bondaku Aminah. Kiranya mereka menyaksikan nasib yang menimpa anakandanya yang miskin yatim piatu ini lantaran ketiadaan mereka, sehingga menyebabkan anakanda mereka menjadi buruh upahan ke negeri yang jauh. Aku tidak tahu apakah aku dapat kembali lagi ke negeri tanah tumpah darahku ini.”
Jeritan batinnya itu membuatkan para malaikat dilangit bersedih. Mereka meminta rahmat daripada Allah kepada baginda..
…
Tanpa sedar pipi mulusnya dibasahi air mata yang seakan tidak mahu berhenti mengalir. Allahu Allah. Saat itu Iqbal Hanina sudah tidak mampu lagi meneruskan pembacaannya. Terasa jiwanya bagai dihiris-hiris, hatinya terasa pedih sekali saat mengetahui kisah Habibullah insan Agung ini. Satu perkara yang paling melemahkannya ialah kisah ini. Namun sebenarnya kisah ini jugalah yang telah menguatkannya. Hanya Allah mengetahui betapa kasihnya dia terhadap insan agung ini. Dua orang lelaki yang teramat dia cintai dalam hidupnya, kedua-duanya bernama ‘Muhammad’. Persamaan keduanya bukan sekadar pada nama, tapi keduanya juga teramat dekat dihatinya walau pada zahirnya keduanya sudah berada terlalu jauh darinya. Namun hari itu Iqbal Hanina tidak mahu menangis lagi, lalu dia mengambil pena dan buku catatan ini, dan tertulislah apa yang telah tertulis di buku nota itu hari ini. Usahanya kelihatan seperti berhasil, kerana setelah habis satu muka surat, airmatanya kering sendiri. Iqbal Hanina tersenyum sendirian mengingat masa lalu.
‘Nabi Muhammad saw insan agung, seorang yatim piatu. Hidupnya sedari kecil susah dan setelah dewasa juga penuh dengan ujian. Namun akhlaknya adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Imbalan sabar terhadap ujiannya maka Allah mengasihi baginda, digelar Habibullah juga kekasih bagi para hamba yang mencintai Allah.’
Iqbal Hanina sentiasa mengingatkan dirinya tentang kisah Rasulullah ini berulang kali sebagai muhasabah buatnya. Sedari umur 6 tahun dia sudah belajar berdikari sendiri tanpa seorang insan yang bernama ayah. Setiap kali pulang dari sekolah, dia memerhati para sahabatnya yang dijemput oleh ayah mereka. Namun dia tidak sedikit berasa cemburu kerana ibunyalah telah mengganti tempat ayah, seorang ibu yang mampu memberinya yang terbaik, seorang ibu yang juga ayah. Sehingga kini dia masih terasa kucupan terakhir ayah di dahinya, masih teringat manis senyumannya dan masih terngiang pesanannya. Dan itulah kali terakhir dia melihat ayahnya saat ayah menghantarnya ke sekolah pada pagi itu. Pada petangnya, dia mendapat berita ayahnya sudah kembali ke rahmatullah.
Realitinya dia merasa dia lebih kuat pada waktu kecilnya berbanding sekarang. Apalah yang mampu difahami oleh seorang anak kecil tentang erti kehilangan. Setelah meningkat dewasa, dia mula memahami erti rindu, erti kasih sayang terhadap seorang ayah. Hatinya lebih sensitif terhadap apa jua bentuk kehilangan. Dalam usrah atau majlis ilmu yang menceritakan tentang anak yatim, dia amat menghayatinya. Betapa banyak firman Allah memerintahkan hambanya untuk berbuat baik terhadap anak yatim dan tidak kurang juga hadis Nabi Muhammad saw tentang itu. Bila dia melihat pada dirinya sendiri yang juga mempunyai ‘title’ anak yatim, dia sangat mudah untuk faham hikmah tentang ayat-ayat Allah dan hadis Nabi ini. Dia akui pada saat begitu hatinya sangat mudah tersentuh, dalam hatinya dia menangis sendiri. Seorang anak yatim tidaklah mendambakan harta yang melimpah ruah kerana mereka adalah golongan yang telah dilatih tabah sejak kecil sebab itu Allah memilih mereka. Bagi Iqbal Hanina, harta bukan masalah besar bagi anak-anak yatim diluar sana dek masyarakat yang sangat prihatin pada masa kini, yang mudah menghulur bagi yang memerlukan. Apa yang mereka perlukan sebenarnya ialah ‘pengganti kasih sayang’ yang telah hilang dari mereka. Itulah sebenarnya ‘harta’ yang diperlukan mereka..
“Jika kamu ingin melembutkan hatimu, “ demikian sabda Rasulullah yang pernah dia dengar, “ maka usaplah kepala anak yatim…”
Subhanallah, erti yang disampaikan baginda itulah yang sebenarnya seorang anak yatim perlukan. Iqbal Hanina mula belajar untuk menyayangi insan di sekelilingnya sepenuh hati, kerana dalam hidupnya sejak berumur 6 tahun, itulah yang dia cari, ‘kasih sayang’. Dengan memberi, dia bahagia, dengan menyayangi dia rasa sempurna. Syukur Alhamdulillah, kerana Allah mendidiknya dengan jalan ini.
‘Manusia masih boleh hidup tanpa harta, tapi akan menjadi mayat hidup tanpa kasih sayang.’
Ya Rasulullah, sesungguhnya pada dirimu itu terdapat contoh teladan terbaik buat ummat.
“Assalamualaikum, Iqbal Hanina..??” Satu suara menerpa ke telinganya. Dia mendongak, terkesima. Wajah seorang pemuda yang sedang berdiri dihadapannya itu seakan pernah dilihatnya sebelum ini, tapi dimana...
Akan bersambung.. Insya Allah..
..::Qalam 'Aini, 19 Mei 2011 / 16 Jamadil Akhir 1432H::..
Q'A:
Alhamdulillah..akhirnya ada rezeki untuk keluarkan bahagian 3..(^_^).. S.E.L.A.M.A.T.M.E.M.B.A.C.A.
2 comments:
Sungguh Benar, Erti Hidup Hanya Pada Memberi...:)
Status: Menanti dan Menanti Keluaran Bahagian 4 InsyaALLAH...:)
Teruskan Usahamu QA...:)
@Invisible Follower,
Terima kasih kerana membaca.
Insya allah, klu ada rezeki bolehlah teruskan dengan bahagian 4..(^_^)..
..amatur je..
Post a Comment