Friday, October 19, 2012

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 6)

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’(17) Ayat 32:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
“Kami tidak berzina. Kami berbual-bual saja ”, “Kami keluar makan saja” dan “Kami main SMS saja.” Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun hanya mendekati zina, ia sudah pun haram. Mungkin ada yang kurang jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin, ber‘couple’, teman tapi mesra, adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah haram.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Terasa kering sekali kerongkongannya melirik kotak mesej tulisan berwarna hitam putih itu. Berkali-kali menelan air liur masih juga terasa haus. Iqbal Hanina dilanda dilema. Jari jemari pantas menaip balasan. Jauh di sudut hati hadir satu bisikan nakal, “Wah wah wah Iqbal, kau ada secret admirer laa..he he..”. Pipinya terasa hangat dialus usikan nafsu.
“Ni siapa?”, Iqbal Hanina mengulang baca balasan yang telah ditaip olehnya. Tanpa ragu dia menekan butang ‘Send’. Dia menanti balasan mesej dari empunya diri di pihak sana.
“Iqbal, Iqbal, jom, jom!”, Zahra teman sebiliknya tiba-tiba menonong masuk ke dalam bilik entah dari mana dan mengheret Iqbal
“Eh, jom ke mana??”,tanya Iqbal Hanina terpinga-pinga kehairanan. Dia tersentak dalam penantian balasan mesej dek kerana Zahra.
“Haaa, kita ada projek besar malam ni, lets rock and roll bebeh..!”, spontan balas Zahra. Iqbal Hanina melirik hairan ke wajah Zahra yang sudah tersengih-sengih menyeringai sendiri menuju ke pintu bilik, membukanya dan keluar bersamanya. Telefon bimbit Iqbal Hanina di biarkannya sendiri di atas katil. Mereka berjalan laju-laju menuju ke sayap barat bangunan asrama dan berhenti di hadapan sebuah bilik. Iqbal Hanina melirik kearah selipar yang berselerakan di hadapan pintu bilik tersebut. Semuanya selipar pemilik yang dia kenali. Belum sempat Zahra memegang pintu bilik, ia sudah pun dibuka oleh orang lain dari dalam.
“Wei, lambat la korang datang, cepatla nanti dia balik pulak..” “Kita nak buat apa kat bilik Maria ni Syifa’?”, sekali lagi Iqbal Hanina terkejut melihat kelibat Syifa’ di balik pintu bilik teman mereka Maria, sedangkan bilik Syifa’ berada di sayap timur asrama. Dia menjenguk ke dalam bilik dan melihat ada 3 orang lagi bersama mereka, iaitu Haidar teman sebilik Maria, Laila dan Farihan yang juga rakan sekuliah mereka sedang bersidai-sidai sambil tersengih-sengih di katil Maria.
“Rumble lah Iqbal. Esok hari lahir Maria la. Malam ni kita rumble dia habis-habisan,he he..”, barulah Iqbal Hanina faham dari jawapan Syifa’. Dia ke kelas sewaktu mereka merangka perancangan, oleh sebab itu dia tidak tahu apa-apa. Biasanya program harian mereka akan di mesyuarahkan setelah mereka selesai solat Isyak berjemaah di surau asrama, tapi hari ini Iqbal tidak menghadiri kedua-dua program. Rumble bererti mereka akan membuat Maria huru hara pada malam ini. Kebiasaannya akan di akhiri dengan kemuncak mangsa dimandikan dengan telur. Itulah yang Iqbal pelajari semenjak dia belajar di sini. Ini adalah kali pertama dia tinggal di asrama, berbeza dengan teman-temannya yang lain, mereka semuanya adalah pelajar dari MRSM dan SBP dan sudah biasa dengan aktiviti sebegini.
“Laa, iyeke. Ampun madam, hamba tak hadir meeting komplot sebab ada kelas tadi. Jadi, apa plan kita ni?”, tanya Iqbal Hanina seakan sudah memahami agenda pada malam itu.
“Iqbal, Laila dan Farihan, kamu bertugas menggodak almari pakaian dia, dan apa saja barangan yang dia ada kat atas meja tulis dan katil manakala aku dan Zahra siapkan operasi di bilik air. Haidar jadi cover line, Maria sedang pergi beli makanan kat kafe, nanti Haidar akan lengahkan dia. Haidar akan ajak Maria makan di bilik tv pada malam ni kemudian pukul 12 mereka akan cuci tangan di bilik air hujung sana..”, panjang lebar Syifa’ memberi arahan operasi mereka pada malam itu. 

Setelah 15 minit, mereka bertiga bersorak riang dan sangat berpuas hati melihat hasil kerja tangan mereka menggodak hak milik Maria. Almari pakaiannya sudah seperti tongkang pecah dengan pakaian yang berlumuran bedak talcum berselerakan di merata tempat. Tuala mandi Maria yang merupakan bantuan terpenting Maria setelah operasi kemuncak di bilik air nanti sudah tidak kelihatan. Manakala meja tulisnya sudah bertukar menjadi katil dan katil menjadi meja tulis. Jam menunjukkan pukul 11.45 minit malam. Mereka bertiga meluru ke bilik air. Syifa’ dan Zahra masih bertungkus lumus menyiapkan bahan operasi. Di suatu sudut kelihatan Zahra sedang menyorokkan sebuah baldi dipenuhi cecair warna kuning. “Menu siap!”, teriak Zahra. Iqbal Hanina sudah tahu menu yang dimaksudkan oleh Zahra ialah air telur ayam campuran di dalam baldi tersebut. Ia adalah campuran telur ayam, tepung gandum, shower foam dan minyak. 


“Mereka dah datang!”, Syifa’ menjerit kecil di sebalik pintu bilik air. Lantas mereka semua menyembunyikan diri di setiap tandas dan bilik mandi yang ada. Senyap sunyi, seperti tidak pernah ada orang yang menjejakkan kaki di bilik air tersebut. Haidar mengajak Maria mencuci tangan dan bekas makanan di sinki yang agak jauh dari pintu bilik air agar Maria sukar untuk melarikan diri nanti.
“Banyaknya minyak dalam sinki ni, siapa lah yang tak bertanggungjawab tak cuci betul-betul lepas guna..”, Maria mengomel kepada Haidar. Haidar hanya tersenyum sendirian. “Rumble..!!!”, jerit Haidar memberi isyarat bahawa operasi bermula. Malam itu tersuratlah takdir pahit dalam hidup Maria, di serang hendap oleh teman-temannya. Sorakan dan hilai tawa kedengaran di bilik air. Maria menjerit-jerit meminta tolong dan di beri belas kasihan. Tiada siapa kisah dan menegur aktiviti mereka di bilik air pada malam itu, kerana Ketua asrama dan ahli Majlis tertinggi asrama adalah sebenarnya mereka berenam juga. Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi namun mereka masih di bilik air. Sehingga ke penghujung malam mereka bersenda gurau dan di awal pagi mereka bangun bersama-sama menunaikan solat subuh di surau yang berhampiran bilik Maria dan Haidar. Haidar adalah pelajar aliran agama dari SBPI manakala Syifa’ dan Farihan pula bekas ajk BADAR semasa di MRSM. Bagi mereka enjoy-enjoy juga, masing-masing masih berdarah muda dan suka berhibur tapi solat tetap utama.
Pagi itu mereka berenam ke kuliah seperti biasa. Syifa’ dan Haidar tidak bersama kerana mereka berdua adalah pelajar kuliah lain. Sebagai menghargai hari lahir Maria, mereka berenam memakai baju kurung berwarna pink semuanya kerana itu adalah warna kegemaran Maria. Itulah kali pertama Iqbal Hanina mengenakan pakaian berwarna pink, itupun dipinjam dari Syifa’ kerana dia tidak punya baju kurung warna tersebut. Empat orang gadis ayu berpakaian pink memasuki dewan kuliah dan menarik perhatian mata-mata yang ada di dalam kuliah. Iqbal Hanina, Zahra, Laila dan Farihan mengambil tempat biasa mereka di suatu sudut dewan
..Tet tet..
1 mesej baru masuk ke kotak mesej Iqbal Hanina.
‘Manisnya cik Iqbal Hanina serba pink hari ini. Maaf semalam saya tak balas mesej, dah tidur waktu tu. Saya pakai kemeja biru laut, duduk di bahagian kanan dewan kuliah..hehe.. Selamat menuntut ilmu ye cik Iqbal Hanina..’, terkedu Iqbal Hanina membaca mesej dari pemilik nombor semalam. Dia sudah lupa dengan mesej tersebut dek menjalankan tugas dalam operasi penting bersama teman-teman semalam. Pipinya terasa panas sekali lagi. Tidak sanggup rasanya untuk mendongak dan memandang ke bahagian kanan dewan kuliah, takut-takut ada mata yang memerhatikan.
Dua bulan lepas Iqbal Hanina membuat keputusan untuk menukar nombor telefon baru, semata-mata kerana dia di hantui oleh mesej-mesej jiwang dari 2 orang pelajar lelaki sekolahnya dulu. Seorang meluahkan kata-kata cinta dan hasrat untuk ber’couple’, manakala seorang lagi terlalu kerap bertanya khabar dari pagi sehingga malam. Mungkinlah hal itu berlaku kerana Iqbal Hanina adalah pelajar yang dikenali di zaman sekolahnya dulu. Dia bergelar head girl sekolah dengan position vice president prefect board semasa tingkatan 5, pernah mendapat kad luahan hati, surat-surat yang diselit bawah meja, panggilan telefon menyatakan cinta, hadiah hari lahir istimewa, dapat dedikasi valentine, dedikasi lagu nasyid secara langsung, dedikasi lagu cinta semasa bertugas harian sebagai pengawas, juga pernah mendapat sebentuk cincin tanda lamaran. Dan yang masih tak lupa, ada sorang cikgu berkenan padanya, sehingga dia menyimpan gambar Iqbal Hanina dari satu program sekolah dan hal itu diketahui oleh Iqbal Hanina dari mulut cikgu tersebut sendiri. Itulah zaman sekolah Iqbal Hanina. Oleh kerana tidak tahu apa lagi jalan penyelesaian terhadap hal yang dia alami, dia nekad untuk menukar nombor baru. Kali ini, sang jejaka yang cuba berkenalan dengannya juga kelihatan ada ura-ura seperti mereka berdua dahulu. Ada udang galah di sebalik mi ni!. Namun perasaan yang Iqbal Hanina alami kali ini berbeza. Dia masih boleh menghormati sang jejaka yang menghantar mesej itu. Mungkin saja kerana bahasa mesejnya kelihatan lebih sopan dan intelektual berbanding pelajar lelaki sekolahnya dulu. Iqbal Hanina memilih untuk mendiamkan diri, tiada balasan mesej yang dihantar kembali.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya:
“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.” 
Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja, menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantikannya, ketampanannya, sifat penyayangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber ‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Bagi Iqbal Hanina, dia tidak perlu melayan perkara yang tidak penting dalam hidupnya apatah lagi untuk pelajarannya. Tujuan dia datang ke sini adalah untuk menuntut ilmu bukan untuk mencari teman lelaki. Sayang sekali, pendiriannnya ini bukanlah didasarkan oleh pegangan ilmu agama terhadap hal ikhtilat antara lelaki dan wanita tetapi ia hanyalah satu bentuk ke egoannya terhadap lelaki yang membuatnya tidak mudah terpedaya. Sedangkan jika dia memiliki ilmu agama terhadap hal ini, pendiriannya akan menjadi lebih kukuh dan tidak akan mudah rebah jika digoda ayat-ayat cinta lelaki apatah lagi untuk dirinya sendiri menjadi penggoda lelaki. Namun Allah mengetahui perjalanan terbaik untuknya, mungkin suatu hari nanti dia akan berpeluang menimba ilmu agama dalam hal perhubungan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Namun tanpa dia mengetahui, Allah mendidiknya sedikit demi sedikit tentang agama semenjak dia belajar di sini. Dia dikelilingi oleh orang-orang yang ingin bersama-sama meningkatkan ilmu dunia juga ilmu agama, dan tempiasnya terkena pada dirinya kini. Dalam kekalutannya memikirkan ujian demi ujian yang melanda diri, dia terpandang Abdullah Wafi di suatu sudut dewan kuliah, dia kelihatannya baru sahaja tiba ke dewan kuliah. Entah mengapa dalam hatinya terdetik. “Adakah lelaki seperti Abdullah Wafi ini benar-benar menjaga pergaulannya dengan wanita, ataukah dia sama seperti pelajar lelaki yang menghantar mesej kepadaku ini?”, soalan monolognya terus menjadi persoalan.

********************************************************************************
Di hadapannya kini adalah Abdullah Wafi yang dia pernah kenal 5 tahun dahulu, sedang tersenyum memandangnya. Kafe Milky Way itu dirasakan semakin hening..
...

Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang. Iqbal Hanina terjaga dari tidurnya.
“Allah, apa maksud mimpi tadi tu??”, kepalanya serasa pening kerana bangkit dari pembaringan secara tiba-tiba. Dia mengerling kepada jam di telefon bimbit,
5.55 a.m
Hari ini hari yang akan melakar sejarah baru dalam hidupnya, InsyaAllah. Dia bangkit menuju ke bilik air untuk kendiri dan berwudhuk.
Usai Subuh dia bermuhasabah sendiri memikirkan mimpi yang hadir semalam. Persoalan keraguannya terhadap lelaki termasuk Abdullah Wafi sewaktu di dewan kuliah dulu berlegar di benaknya. Masakan tidak, dirinya sendiri sedang teruji berat dengan permasalahan itu pada saat ini. Iqbal Hanina menghela nafas berat, hanya mampu melafazkan sebaris ayat dari bibirnya, “Allah...”



Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 19 Oktober 2012 / 3 Zulhijjah 1433H::..

Q'A: 
Bahagian 6.. Terhasil dari masa-masa kecederaan sewaktu menulis thesis..(^_~)