Monday, February 15, 2016

Kejayaan Sebuah Rindu (Bahagian 7)


Pagi ini terasa amat tenang. Matahari kelihatannya malu-malu berselindung di balik awanan gebu berlatarkan langit nan biru. Usai bersiap, Iqbal Hanina memulakan langkah keluar dari biliknya dengan penuh tawakkal. Dia perlu berjumpa temannya Shahida di Pondok Lembaran 10 minit lagi. Selawat tidak lekang dari bibirnya. Hatinya benar terasa berdebar-debar sejak Subuh tadi. Mimpinya pada malam tadi masih berlegar di minda. ‘Milky Way dan Abdullah Wafi? Apakah maksud semua ini?’. Dia berusaha agar lebih fokus kerana hari ini adalah hari besar buat dirinya. Terasa berat ujian, terasa besarnya beban. Namun saat itu juga, terulang di benaknya akan hadis junjungan Rasulullah s.a.w.,


Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)
Di lain riwayat, Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tanpa berlengah Iqbal Hanina berpatah kembali ke bilik. Walau masa yang dia ada amat suntuk, tapi dia yakin pertolongan Allah swt perlu dijemput.  Wudhuk disempurnakan dan Solat Dhuha pun ditunaikan. Satu keyakinan, satu ketenangan yang tidak dapat digambarkan lantas hadir menguatkan dirinya. Allahuakbar! Manusia itu fitrahnya hanya akan lebih ingat kepada Tuhan saat diuji. Hari ini dan saat ini, keyakinannya semakin tinggi terhadap hadis Habibullah ini. ‘Allahumma Solli Ala Muhammad !’.

“Iqbal Hanina, awak okay? Senyum lebih sikit ya. Hari ini penentuannya.” Shahida menegur Iqbal Hanina yang kelihatan berfikir jauh sepanjang berjalan dari Desa Lembaran. Iqbal Hanina menatap wajah Shahida, manis, lalu menghadiahkan seukir senyuman. “Insya Allah. Doakan saya ya. Jom, harapnya kita tak lewat nanti.” Langkah mereka laju menyelusuri susur gajah berbumbung hijau menghala ke Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik. Banner dan Poster Pilihan Raya Kampus terhias penuh di sepanjang laluan. ‘Hasbunallah wa ni’mal wakeel !’.



***                              ***                              
1 Tahun Sebelumnya

***                              ***                             

Cahaya matahari waktu Dhuha menyimbah lembut ke wajah mulus Iqbal Hanina. Kesilauan, dia menundukkan pandangan ke bawah memandang rerumput segar menghijau di bawah kaki. Di hadapannya Syed Muzaffar dan Wan Hafidz berdiri. Mereka menanti jawapan darinya. Jarak 3 kaki antara mereka masih terasa amat melemaskan buat Iqbal Hanina. Sekilas Iqbal Hanina memandang Shahida dan Annur yang berdiri di sebelahnya.

“Saya mohon beri masa untuk saya buat Solat Sunat Istikharah dan buat Istisyarah dulu.” Iqbal Hanina bersuara, sedikit tegas. Satu kumpulan pelajar Tahun 1 kelihatan menghampiri pintu Dewan Kuliah Utama Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, tempat mereka berlima berdiri.
“Boleh Insya Allah. Kami amat berharap akan menerima berita baik dari Saudari.” Balas Wan Hafidz, bersungguh. Syed Muzaffar hanya mengangguk penuh berharap. Pandangan mereka langsung tidak bertemu. Terjaga. “Kami minta diri dulu. Assalamualaikum.” Akhiri Wan Hafidz dan mereka berlalu dari situ. "Wa'alaikumussalam." Jawab mereka bertiga.

“Iqbal, jom kita pulang ke Desa. Saya teringinnnn sangat nak minum Teh Tarik Peng Kafe Halim yang sedap tu. Oh sedapnya kalau dapat minum dalam cuaca panas-panas macam ni!” Suara Annur memecah kesunyian, cuba menceriakan keadaan. “Saya pun nak cuba lah. Kena sejukkan tekak dulu sebab lepas ni kita nak interbiu cik adik manis kita seorang ni. Apalah jawapannya ye. Kalau saya lah, mesti saya jawab YA terus tadi !” Shahida cuba mengusik Iqbal Hanina. “Eh, sepatutnya saya yang lebih rasa dahaga sekarang kan? Mujur saja tak pitam tadi.” Iqbal Hanina mencelah. “Betul juga tu. Usahkan awak, kami pun terkejut. Mujur lah awak tak pitam.” Annur dan Shahida tertawa nakal.

Dari jauh Syed Muzaffar memerhatikan Iqbal Hanina bersama teman-temannya. Dia mengeluh dalam-dalam. Pap ! Satu tangan singgah memegang bahunya. “Hai, belum dapat jawapan sudah mengeluh. Tenanglah Syeikh! Wan Hafidz menepuk bahu tegap Syed Muzaffar. Syeikh adalah pannggilan mereka sesama sahabat. Lambang hormat dan erat persahabatan. Syed Muzaffar tersenyum kelat. Dalam hatinya, tersangat mengharapkan satu jawapan positif dari Iqbal Hanina, dan dia sesungguhnya tidak bersedia untuk menunggu jawapan itu terlalu lama.

Petang itu awan kelabu kumulunimbus memayungi langit Kampus Kejuruteraan USM. Iqbal Hanina memerhati dari luar jendela. Seberat mana pun awan mengandung air hujan, ia tetap akan bergerak membawanya menuju destinasi yang ditugaskan. Awan petang itu seolah memahami situasi Iqbal Hanina. Berat hatinya untuk memberi jawapan “YA”. Namun dia tidak dididik untuk terus memberi jawapan “TIDAK” sebelum dia membuat istikharah dan istisyarah. Kabur sekali jawapan dihati.

Imam As-syawkani mengatakan Solat Sunat Istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya (Naylul Awtar, 3/71). Kedua-dua amalan ini mempunyai asas dan amat digalakkan di dalam Islam.  Asasnya termaktub di dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari (Al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, no 6382; Sohih menurut Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Abi Hatim tetapi dhaif menurut Imam Ahmad Hanbal;

Dari Jabir r.a bahawa Nabi bersabda :
“Apabila seseorang kamu inginkan sesuatu maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa:

Ertinya : “Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah dengan ilmuMu dan memohon dari kekuasaanMu, dan aku memohon dari kurnianMu dan agung, dan sesungguhnya Dikaulah yang maha berkuasa dan tiadalah aku berkuasa, Dikau Maha mengetahui dan aku tidak mengetahui, dan dikau maha mengetahui perkara Ghaib, Ya Allah sekiranya urusan ini (sebutkan urusannya) baik untukku pada agamaku, kehidupanku dan pengakhiranku, maka taqdirkan ia bagiku, dan sekiranya urusan / perkaara ini buruk bagiku, agamaku,kehidupanku dan pengakhiranku, jauhkan ia dariku dan jauhkan ku darinya, dan berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya” 


“Istikharah perlu apabila di hati kamu tidak ada apa-apa jawapan baik ya atau tidak. Masa itu lah baru istikharah itu benar-benar berfungsi.” Iqbal Hanina teringat satu kuliah oleh Ustaz Rifhan minggu lepas di Pusat Islam USM. Dia mencapai telefon bimbit. Beberapa bait mesej temujanji ditulis penuh hormat dan nama ‘Kak Tasnim’ dipilih sebagai penerima. Sent. Dia perlu bermuzakarah dengan Naqibahnya itu secepat mungkin. Perlu !

Akan bersambung.. InsyaAllah ^-^

..::Qalam 'Aini, 15 Februari 2016 / 5 JamadilAwal 1437H::..

Q'A
~alhamdulillah thumma alhamdulillah
^^

Friday, February 12, 2016

Nasihat Iman Syafe'i dalam berdebat


~Tinta Hati~

3 Jamadil Awal 1437H / 12 Februari 2016M

Satu rujukan yang perlu kita ambil dalam berhujah ialah contoh Imam As Syafi'ie Rahimahullah. Adab dan akhlaknya amat disegani oleh kawan dan lawan. Subhanallah.

Kita bukanlah ulama besar yang punya segudang ilmu. Namun begitu tugas menyampaikan kebenaran dan Tauhid tergalas pada setiap bahu Muslim dan seharusnya kita belajar daripada ulama yang telah berjaya.

Imam Syafi'i adalah seorang ulama besar yang banyak melakukan dialog dan pandai dalam berdebat.

Sehingga Harun bin Sa'id berkata: "Seandainya Syafi'i berdebat untuk mempertahankan pendapat bahwa tiang yang pada aslinya terbuat dari besi adalah terbuat dari kayu nescaya dia akan menang, kerana kehebatannya dalam berdebat".

Imam Syafi'i berkata : "Aku tidak pernah berdebat untuk mencari kemenangan."

Lagi, Imam Syafi'i berkata : "Aku mampu berhujjah dengan 10 orang yang berilmu, tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu".

Allahuakbar !

Benar-benar nasihat yang genius. Hakikatnya, 
Islam membawa panduan cara hidup terbaik, bukan hanya ritual keagamaan.

Islam mencakupi seluruh perkara, daripada cara hidup hingga cara perdebatan.

Semoga kita semua mulai meniatkan untuk berdebat bagi memberi pencerahan kebenaran, bukan untuk mencari kesilapan apatah memburu kemenangan.


Kejahilan tiada ubatnya melainkan menuntut ilmu dan hidayah dari Allah swt

Wednesday, February 10, 2016

Dahan Itu Yang Menyapaku

~Tinta Hati~
1 Jamadil Awal 1437H / 10 Februari 2016

Aku berjalan dengan langkah laju
Aku punya yakin 
Dan hanya satu
Diriku Dari Dia
Akan Pulang KepadaNya
Saat ini yang aku punya

Bakal ditanya untuk apa aku gunakan
Jalan ini seolah tiada penghujung
Kaki ini ku hayun tanpa henti
Aku melangkah terus ke hadapan
Terkadang lelah datang menyapa
Terduduk aku terpaku ke lantai bumi
Melihat ke arah bebunga kering
Dedaunan rimbun
Dedahan hijau
Seolah menyapaku
‘Ke mana tujumu, duhai anak?’
Dan aku,
Ke mana arah ini tiada aku pasti
Sedikit amat ilmuku untuk aku ketahui
Jalan ini benarkah ia lurus
Apakah yang ada dihadapan sana
Tidak aku punya jawapan
Tiada aku kenali
Sebagaimana
Kenalnya aku dengan tapak tanganku sendiri

Usiaku kini kadaluwarsa
Gesa aku capai cita dan cinta
Terluput segala masa dan rasa

Terlupa daku garis akhir itu hampir tiba
Bakal memanggilku pulang ke Maha Pencipta

'Wahai anak, ikutilah dia
Rahmatan lil aalamin
Yang namanya terukir indah
Di lembaranTaurat, Zabur dan Injil
Dia adalah Yang Terpuji
Dialah yang bakal mensyafaati'

Bicara sang dahan

Sunday, February 7, 2016

Cecoret Hujung Minggu seorang Ummu Naufal

Bismillaahirrahmaanirrahiim
Assalamualaikum

Hujung Minggu Dah Datang. Lets Enjoying Every Weekend !

Hujung minggu biasanya banyak resepi yang tertunda akan keluar list untuk direalisasikan. Mana2 menu yang bertuah maka terpilihlah ia untuk masuk post Masak 4U. Jangan main2. Sesebuah journal tu hanya dapat high impact jika ia banyak reject paper. -..-

1200 LIKERS KOT. Bayangkan IMPAKNYA. (dah like belum?) -..-


Tapi,
Oleh kerana hari2 Ummi masak nasi sejuk goreng ala kekampungan atau bihun goreng tak cukup bahan maka..ia tak mampu tersenarai pun dalam carta (walau page sendiri) Krik2.

Baiklah. Antara list tertunda minggu ini ialah,

"Spagetti Melayu Special" -Ummi
"Pizza Gebus"-Abi
"TomyamGong" -Ummi
"Ikan bakar Istimewa" -Abi
"Kuih Kaswi Tokma" -Ummi
"Colek nenas zass"-Ummi

Majoriti menu adalah idaman UMMI. Sebab Ummi adalah wanita. Wanita Didahulukan.

Bahan2 kebanyakan dah ada kecuali bahan basah (semenjak Ummi jadi wanita bekerjaya raya ni, bahan basah selalu bertukar jadi bahan kering dalam peti sejuk). Jadi bila semangat nak masak Ummi tu datang maka dengan segera kita kena beli baru. Jangan tunda2 lagi okeh. Semangat nih! "."

Maka,
Harini pagi2 lagi kami keluar cari ikan.
Semalam petang kami keluar cari ikan juga, bawa pancing. Pancing punya pancing, Ikan tak ada kata Abi. Semua ikan balik cuti Tahun Baru Cina agaknya. Sampai Naufal tanya, "Abi mandikan katak (casting frog) je ke Ummi". >-<

Maka harini kami tukar strategi memburu.

Kagum dengan kekuasaan Allah. Cantik tasik ni. Mesti Banyak katak. Euwwww..

Tepat jam 10 pagi kami harus ada kat jeti Piasau Utara. Berbekalkan duit not warna merah, kami akhirnya berjaya memdapat ikan segar dari pakcik nelayan. Alhamdulillah.^.^

Panjang pula pos Ummu Naufal. Ini curi2 tulis pos masa anak tengok video ni. Kalau masa anak tidur mesti pos ni lagi tak ada sebab Ummi pun tidur. (Ummi bukan kaki tidur, sekadar lelapkan mata)

Eh jap, rasanya tadi Naufal tengok monster truck bahasa inggeris. TAPI kenapa macam..

Sebelum terlupa, saya nak beritahu yang saya sangat suka Naufal tengok video bahasa inggeris. Hampir setiap kali sesi video Ummi akan pilih bahasa inggeris. Terbaik kan. ^-^

Mengapa? kerana ia sangat membantu untuk tambah vocab dan skill berbahasa inggeris Ummi. 2 tahun lagi Ummi kena ambil IELTS semula lepas dah expired. Setakat Band Cukup Makan  itu haruslah takkan selamanya kekal tanpa USAHA for improvement. Chaiyok Naufal sama2 bantu Ummi. -_-

'@%#*@(#(([@%'

Dah tu kenapa macam dengar orang bercakap bahasa Sepanyol pulak tuh?? Oh my son.

Como estas Naufal??

-lari laju2 keluar dari persembunyian tengok anak-

Ummu Naufal,
~Inai baru pakai berlatar belakang songket Sarawak. Beli kat pasar ikan. Dia kata "cantik". Jadi malam ni tak boleh uli pizza. Siapa tak sayang inai ooi. ^^