Thursday, March 3, 2016

Kejayaan Sebuah Rindu (Bahagian 8)

Seperti yang dijanjikan, Iqbal Hanina akan bermuzakarah dengan Naqibahnya pada petang itu. Kak Tasnim, seorang Naqibah yang lebih kepada seorang Kakak buat Iqbal Hanina. Sifatnya yang amat penyayang dan mengambil berat amat menarik hati Iqbal sejak awal perkenalan mereka. Kak Tasnim sering kelihatan tersenyum seolah tiada langsung masalah, walhal Iqbal Hanina sendiri maklum dia adalah salah seorang pelajar yang amat sibuk di Kampus Kejuruteraan USM itu. Tidak keterlaluan jika teman-teman mengatakan Kak Tasnim adalah ciri pelajar wanita contoh dan juga idola muslimah solehah di kampus ini.

Dari kejauhan Iqbal Hanina sudah Nampak kelibat Kak Tasnim, berbaju kurung bertudung labuh warna kuning cair, berjalan menuju ke arah mejanya. Petang itu Kafe Desasiswa Lembaran agak lengang. Mungkin kerana dek cuaca yang mendung, membuatkan ramai pelajar hanya mahu menghabiskan waktu petang di dalam desa sahaja.

“Assalamualaikum” Salam dihulur oleh Kak Tasnim. Pipi bertemu pipi disertai pelukan dan senyuman mesra. “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh”, jawab Iqbal Hanina. “Cik adik manis, boleh saya minta izin duduk?” begitu Kak Tasnim, bersahaja menyakat Iqbal Hanina. “Eh, kenapa wajah cik adik manis kita ni nampak mendung macam awan tu je?” Kak Tasnim memuncungkan mulut ke arah sekelompok awan kelabu di langit, sambil mengerutkan kening. Soalan itu dan riak wajah lucu Kak Tasnim membuat Iqbal Hanina tergelak kecil. “Akak ni kan, saja je menyakat saya kan. Okay, saya straight to the point.” Balas Iqbal Hanina, “Ada orang Khitbah…”
“MasyaAllah, walhamdulillah, berita baik ni ! Bila nak bagi akak kad wangi??” Kak Tasnim tersengih nakal dan tidak sabar menanti jawapan. Papp! Satu tepukan singgah di bahu Kak Tasnim. “Akak.. tolonglah serius sikit. Saya nak baliklah kalau macam ni. Kalau dah nak buat kad, tak ada lah saya nak muzakarah dengan akak. Malah, hal ni tak ada kena mengena dengan apa yang akak bayangkan tu.” Iqbal Hanina pura-pura merajuk. Kak Tasnim hanya tersenyum.

“Khitbah untuk MPP, kerusi fakulti. Naik automatik dan tak perlu pertandingan. Saya rasa berat untuk menerima. Akak banyak pengalaman dan saya perlu pandangan akak untuk buat keputusan.” Sambung Iqbal Hanina. “Dah istikharah? Dah tanya mak ayah?” Tanya Kak Tasnim.”Belum…” balas Iqbal Hanina. “Kerusi Syed Muzaffar ye?” Tanya Kak Tasnim lagi. “Eh, macam mana akak tahu ni?” Iqbal Hanina terkejut dengan soalan Kak Tasnim. Kak Tasnim tersengih-sengih. “Sebenarnya akak yang cadangkan nama Iqbal” Balas Kak Tasnim. Iqbal Hanina terlopong. Barulah dia tahu bahawa semua ini daripada Naqibahnya itu. “Macam ni, awak istikharah dulu. Jangan lupa tanya pendapat mak ayah. Tugas MPP ni memerlukan komitmen yang agak tinggi. Kadang-kadang terpaksa skip kelas. Kadang-kadang perlu mesyuarat lewat malam. Hujung minggu aktiviti biasanya penuh. Satu akak nasihat, apa pun keputusan nanti, niatkan Lillaahi Taala. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja.” Panjang Kak Tasnim memberi nasihat.

*****************************************************************************

Satu tahun berlalu, Iqbal Hanina membuat keputusan untuk menolak lamaran sebagai MPP. Sebaliknya hari ini, dia telah membuat keputusan bertanding untuk kerusi MPP. Dia mengetahui satu hakikat bahawa dia bukanlah orang selayaknya untuk bertanding, bahkan sesi pidato umum malam tadi adalah satu perkara yang amat sukar sekali buatnya yang tiada pengalaman. Namun atas rasa tanggungjawab, dia bersedia meneruskan langkah perjuangan ini. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jika benar dia mahukan jawatan itu secara mudah, dia sudah boleh menerimanya tahun lalu. Tahun ini misinya berbeza, bahkan dia bertanding bukan untuk kerusi Fakulti tetapi kerusi Umum, jawatan tertinggi kampus. Seorang calon wanita melawan seorang calon lelaki. Satu lawan satu. Ia satu keputusan yang besar bagi dirinya. Malah keputusannya ini menjadi perdebatan sebahagian besar kalangan ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) kampus, kerana bagi mereka wanita tidak seharusnya memimpin pada peringkat tertinggi. Hanya kepada Allah dia bertawakkal.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At Talaq: 2-3)

Hari ini hari mengundi Piliharan Raya Kampus (PRK). Seharian Iqbal Hanina ‘ponteng’ kelas. Dia menghantar permohonan bertulis kepada semua pensyarahnya, kebenaran tidak hadir ke kelas. Syukur semua berjalan baik dan beberapa pensyarahnya sangat senang dengan keterlibatan Iqbal Hanina dalam program ini. Malah ada pensyarah yang juga pernah terlibat dalam PRK bermurah hati berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna buat Iqbal Hanina. 

‘Assalamualaikum. Banyakkan doa dan selawat. Semoga Ukhti beroleh kejayaan.’ Satu mesej masuk ke inbox. Diiringi oleh mesej-mesej lain.
Tibalah masa yang dinanti untuk keputusan PRK diumumkan. Iqbal Hanina berpakaian baju kurung warna merah, ditemani rakan-rakan fakulti, palapes dan desasiswa menghadiri sesi pengumuman. Sungguh dia amat bersyukur kerana punya rakan-rakan yang sangat baik hati dan memberi sepenuh sokongan buatnya. Akhirnya keputusan diumumkan. Calon lawan memenangi PRK kali ini. Keputusan itu diterima dengan penuh redha dan syukur oleh Iqbal Hanina. Takbir ! Allahuakbar ! Takbir ! Allahuakbar ! Para pelajar yang hadir melaungkan takbir setelah keputusan diumumkan. “Tahniah Iqbal Hanina ! Awak telah melakukan yang terbaik.” Iqbal Hanina menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan-rakan. Secara automatik Iqbal Hanina menjadi pengerusi Hal Ehwal Siswi (HELWI) kampus. Tugasnya baru sahaja bermula.
Tet tet.. Satu mesej masuk ke kotak inbox.
Daripada: Syed Muzaffar
‘Assalamualaikum. Tahniah dan takziah. Ukhti ada peluang untuk naik secara automatic namun Ukhti menolaknya. Hari ini Ukhti menyertai PRK, ana berasa amat simpati atas kekalahan Ukhti.’
Iqbal Hanina menghulurkan telefon bimbit kepada Shahida dan Kak Tasnim di sebelahnya. Mereka berdua membaca bait-bait mesej daripada Syed Muzaffar. “Simpati ke perli ni?” Merah padam wajah Shahida menahan amarah. “Abaikan saja Iqbal. Awak tak perlu melayan perasaan saat-saat macam ni. Syed Muzaffar mungkin tak bermaksud begitu.” Kak Tasnim menggosok belakang Shahida. Ada satu perkara yang Iqbal rahsiakan daripada mereka berdua. Syed Muzaffar telah menyuarakan hasrat untuk mengkhitbah Iqbal Hanina, melalui Ustaz Luqman, dan dia belum lagi memberi apa-apa keputusan…

Akan bersambung InsyaAllah
..::Qalam 'Aini, 3 Mac 2016 / 23 JamadilAwal 1437H::..

Q'A
~saya perlukan komen review dari teman-teman yang baik hati untuk meneruskan penulisan, jazakalllah..
^^