Seperti
yang dijanjikan, Iqbal Hanina akan bermuzakarah dengan Naqibahnya pada petang
itu. Kak Tasnim, seorang Naqibah yang lebih kepada seorang Kakak buat Iqbal
Hanina. Sifatnya yang amat penyayang dan mengambil berat amat menarik hati
Iqbal sejak awal perkenalan mereka. Kak Tasnim sering kelihatan tersenyum
seolah tiada langsung masalah, walhal Iqbal Hanina sendiri maklum dia adalah
salah seorang pelajar yang amat sibuk di Kampus Kejuruteraan USM itu. Tidak
keterlaluan jika teman-teman mengatakan Kak Tasnim adalah ciri pelajar wanita
contoh dan juga idola muslimah solehah di kampus ini.
Dari
kejauhan Iqbal Hanina sudah Nampak kelibat Kak Tasnim, berbaju kurung bertudung
labuh warna kuning cair, berjalan menuju ke arah mejanya. Petang itu Kafe
Desasiswa Lembaran agak lengang. Mungkin kerana dek cuaca yang mendung,
membuatkan ramai pelajar hanya mahu menghabiskan waktu petang di dalam desa
sahaja.
“Assalamualaikum”
Salam dihulur oleh Kak Tasnim. Pipi bertemu pipi disertai pelukan dan senyuman
mesra. “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh”, jawab Iqbal Hanina. “Cik
adik manis, boleh saya minta izin duduk?” begitu Kak Tasnim, bersahaja menyakat
Iqbal Hanina. “Eh, kenapa wajah cik adik manis kita ni nampak mendung macam
awan tu je?” Kak Tasnim memuncungkan mulut ke arah sekelompok awan kelabu di
langit, sambil mengerutkan kening. Soalan itu dan riak wajah lucu Kak Tasnim
membuat Iqbal Hanina tergelak kecil. “Akak ni kan, saja je menyakat saya kan.
Okay, saya straight to the point.” Balas Iqbal Hanina, “Ada orang Khitbah…”
“MasyaAllah,
walhamdulillah, berita baik ni ! Bila nak bagi akak kad wangi??” Kak Tasnim
tersengih nakal dan tidak sabar menanti jawapan. Papp! Satu tepukan singgah di
bahu Kak Tasnim. “Akak.. tolonglah serius sikit. Saya nak baliklah kalau macam
ni. Kalau dah nak buat kad, tak ada lah saya nak muzakarah dengan akak. Malah,
hal ni tak ada kena mengena dengan apa yang akak bayangkan tu.” Iqbal Hanina
pura-pura merajuk. Kak Tasnim hanya tersenyum.
“Khitbah
untuk MPP, kerusi fakulti. Naik automatik dan tak perlu pertandingan. Saya rasa
berat untuk menerima. Akak banyak pengalaman dan saya perlu pandangan akak
untuk buat keputusan.” Sambung Iqbal Hanina. “Dah istikharah? Dah tanya mak
ayah?” Tanya Kak Tasnim.”Belum…” balas Iqbal Hanina. “Kerusi Syed Muzaffar ye?”
Tanya Kak Tasnim lagi. “Eh, macam mana akak tahu ni?” Iqbal Hanina terkejut
dengan soalan Kak Tasnim. Kak Tasnim tersengih-sengih. “Sebenarnya akak yang
cadangkan nama Iqbal” Balas Kak Tasnim. Iqbal Hanina terlopong. Barulah dia tahu
bahawa semua ini daripada Naqibahnya itu. “Macam ni, awak istikharah dulu.
Jangan lupa tanya pendapat mak ayah. Tugas MPP ni memerlukan komitmen yang agak
tinggi. Kadang-kadang terpaksa skip kelas. Kadang-kadang perlu mesyuarat lewat
malam. Hujung minggu aktiviti biasanya penuh. Satu akak nasihat, apa pun
keputusan nanti, niatkan Lillaahi Taala. InsyaAllah semuanya akan baik-baik
saja.” Panjang Kak Tasnim memberi nasihat.
*****************************************************************************
Satu
tahun berlalu, Iqbal Hanina membuat keputusan untuk menolak lamaran sebagai
MPP. Sebaliknya hari ini, dia telah membuat keputusan bertanding untuk kerusi
MPP. Dia mengetahui satu hakikat bahawa dia bukanlah orang selayaknya untuk
bertanding, bahkan sesi pidato umum malam tadi adalah satu perkara yang amat
sukar sekali buatnya yang tiada pengalaman. Namun atas rasa tanggungjawab, dia
bersedia meneruskan langkah perjuangan ini. Jika tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Jika benar dia mahukan jawatan itu secara mudah, dia
sudah boleh menerimanya tahun lalu. Tahun ini misinya berbeza, bahkan dia
bertanding bukan untuk kerusi Fakulti tetapi kerusi Umum, jawatan tertinggi
kampus. Seorang calon wanita melawan seorang calon lelaki. Satu lawan satu. Ia
satu keputusan yang besar bagi dirinya. Malah keputusannya ini menjadi perdebatan
sebahagian besar kalangan ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) kampus, kerana
bagi mereka wanita tidak seharusnya memimpin pada peringkat tertinggi. Hanya
kepada Allah dia bertawakkal.
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia
akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di
sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan
mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah
At Talaq: 2-3)
Hari ini hari mengundi Piliharan Raya Kampus (PRK). Seharian
Iqbal Hanina ‘ponteng’ kelas. Dia menghantar permohonan bertulis kepada semua
pensyarahnya, kebenaran tidak hadir ke kelas. Syukur semua berjalan baik dan
beberapa pensyarahnya sangat senang dengan keterlibatan Iqbal Hanina dalam
program ini. Malah ada pensyarah yang juga pernah terlibat dalam PRK bermurah
hati berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna buat Iqbal Hanina.
‘Assalamualaikum. Banyakkan doa dan selawat.
Semoga Ukhti beroleh kejayaan.’ Satu mesej masuk ke inbox. Diiringi oleh
mesej-mesej lain.
Tibalah masa yang dinanti untuk keputusan PRK
diumumkan. Iqbal Hanina berpakaian baju kurung warna merah, ditemani
rakan-rakan fakulti, palapes dan desasiswa menghadiri sesi pengumuman. Sungguh
dia amat bersyukur kerana punya rakan-rakan yang sangat baik hati dan memberi
sepenuh sokongan buatnya. Akhirnya keputusan diumumkan. Calon lawan memenangi
PRK kali ini. Keputusan itu diterima dengan penuh redha dan syukur oleh Iqbal
Hanina. Takbir ! Allahuakbar ! Takbir ! Allahuakbar ! Para pelajar yang hadir
melaungkan takbir setelah keputusan diumumkan. “Tahniah Iqbal Hanina ! Awak
telah melakukan yang terbaik.” Iqbal Hanina menerima banyak ucapan tahniah
daripada rakan-rakan. Secara automatik Iqbal Hanina menjadi pengerusi Hal Ehwal
Siswi (HELWI) kampus. Tugasnya baru sahaja bermula.
Tet tet.. Satu mesej masuk ke kotak inbox.
Daripada: Syed Muzaffar
‘Assalamualaikum. Tahniah dan takziah. Ukhti ada
peluang untuk naik secara automatic namun Ukhti menolaknya. Hari ini Ukhti
menyertai PRK, ana berasa amat simpati atas kekalahan Ukhti.’
Iqbal Hanina menghulurkan telefon bimbit kepada
Shahida dan Kak Tasnim di sebelahnya. Mereka berdua membaca bait-bait mesej
daripada Syed Muzaffar. “Simpati ke perli ni?” Merah
padam wajah Shahida menahan amarah. “Abaikan saja Iqbal. Awak tak perlu melayan
perasaan saat-saat macam ni. Syed Muzaffar mungkin tak bermaksud begitu.” Kak
Tasnim menggosok belakang Shahida. Ada satu perkara yang Iqbal rahsiakan
daripada mereka berdua. Syed Muzaffar telah menyuarakan hasrat untuk
mengkhitbah Iqbal Hanina, melalui Ustaz Luqman, dan dia belum lagi memberi
apa-apa keputusan…
Akan bersambung InsyaAllah
Akan bersambung InsyaAllah
..::Qalam 'Aini, 3 Mac 2016 / 23 JamadilAwal 1437H::..
Q'A
~saya perlukan komen review dari teman-teman yang baik hati untuk meneruskan penulisan, jazakalllah..^^
Q'A
~saya perlukan komen review dari teman-teman yang baik hati untuk meneruskan penulisan, jazakalllah..^^
No comments:
Post a Comment