Bismillaahirrahmaanirrahiim
Suatu pagi yang hening, aku terjaga. Jam baru menunjukkan pukul 3 pagi. Tidurku yang lena terusik dengan sebuah mimpi. Di ruang minda terbayang mimpi indah itu. Bicara diriku dengan dirinya.
..hening.. |
Dia bertanya padaku,
“Adakah kamu mencintaiku?”
Aku menjawab,"Ya, aku mencintaimu. Bagaimanakah tidak, dirimu yang paling istimewa di hatiku”
Kemudian dia bertanya lagi,
“Jika kamu ditakdirkan cacat anggota badanmu, adakah kamu akan mencintaiku?"
Aku kelu seketika. Merenung tangan, kaki, dan seluruh anggota badanku. Tanpa semuanya ini, pastilah sukar bahkan mustahil untukku menyempurnakan pelbagai kerja harianku. Walhal jika hanya sakit sedikitpun aku sudah tidak betah dengannya.
“Tentu ia amat sukar bagiku, namun aku akan tetap mencintaimu, bahkan akan lebih dalam lagi cintaku”
Kemudian dia bertanya lagi,
“Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?”
Aku terdiam. Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu di dunia ini yang tidak mampu kulihat? Kemudian aku tersedar, bukankah ramai insan yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas kujawab padaNya,
“Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun begitu aku tetap mencintaimu Ya Allah”
Dia bertanya lagi,
“Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap merindui ayat-ayatKu?”
Aku tergamam. Bagaimana mungkin bagiku mendengarkan ayat-ayatMu jika aku pekak? Bagaimana mungkin aku merindu sesuatu yang tidak bisa kudengar alunannya? Diriku pula sering mengalunkan zikir irama indah tatkala merinduMu, juga sering mendengar halwa telinga yang merupakan alunan zikir, alunan ayat-ayatMu yang dilantunkan oleh insan-insan yang kau kurniakan bakat pada mereka, ia amat membantuku menambah rasa rinduku padaMu. Kemudian aku terfikir, bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga, tetapi menggunakan hati. Aku menjawab,
“Walau takdir itu amat berat bagiku, namun tetap aku akan mencintaiMu, bahkan semoga lebih dalam cintaku yang istimewa itu”
Dia menyambung lagi persoalannya,
“Jika kamu ditakdirkan bisu, adakah kamu akan terus memuji-mujiKu, mengalunkan zikir-zikir indah mengingatiKu?”
Allahu Allah. Bagaimanakah mungkin untukku memuji tanpa menggunakan suara. Bagaimana pula aku mahu memanifestasikan ayat-ayat cintaKu padaNya tanpa lafaz? Kemudian aku menyedari, bahawa Allah mahu aku memujiNya dari dalam hati juga jiwa, tidak penting bagaimanakah bunyinya. Lantas aku menjawab,
“Sungguhpun aku tidak mampu untuk melafazkan kata pujianku buatMu, aku akan tetap memujiMu di dalam hatiku”
Dan, dia terus bertanya,
“Adakah kamu benar-benar mencintaiKu?”
Dengan nada penuh yakin dan berani aku menjawab,
“Ya benar Wahai Tuhanku. Aku mencintaiMu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku, tiada Tuhan selainMu”
Aku amat yakin bahwa jawapanku cukup bagus untuk menjawab persoalannya itu. Tetapi dia terus bertanya lagi,
“Kalau benar begitu, kenapa kamu masih melakukan dosa?”
Astaghfirullah, astaghfirullah. Aku terhenyak seketika. Dengan menunduk aku menjawab,
“Wahai Tuhanku, aku Cuma seorang insan biasa, yang sering lalai. Tuhanku, aku tidak sempurna dan tidak pula maksum dari dosa..” Mataku sudah berkaca-kaca dan pipiku terasa panas..
“Jika begitu, mengapa saat kamu senang dan gembira, kamu lupa padaKu, kamu lari dariKu? Dan mengapa, ketika kamu susah dan perlukan bantuanKu, kamu akan ingat padaKu, datang mendekatiKu dan merayu belas kasihanKu?”
Aku tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Kerongkongku serasa tersekat, air mataku gugur membasahi pipi, mengalir laju..ia tak mampu lagi ditahan-tahan..aku menangis, hatiku pedih..hanya mampu kujawab didalam hati kecilku, ’Ya Allah, kepada siapa lagi mahu ku harapkan..selainMu..’
Dia menyambung,
“Mengapa kamu buat begini, kadang-kadang kamu sujud menyembahKu, kemudian di lain waktu kamu membelakangiKu, tidak mempedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya saat kamu mengingatiKu? Mengapa kamu meminta padaKu sedang kamu tidak setia padaKu?
Kurasakan air mataku mengalir semakin deras membasahi pipi..seakan tidak mampu berhenti..
“Mengapa kamu tidak malu kepadaKu? Mengapa kamu amat susah untuk menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu menghadapi waktu sukar, kamu adukan pada yang lain sedang Aku sentiasa sedia mendegar rintihanmu?? Mengapa kamu membuat alasan, itu dan ini, ketika Aku memberikan peluang untukmu berkhidmat dan berjuang di jalanKu?”
Aku cuba menggagahkan bibir untuk melafazkan kata-kata bagi menjawab setiap soalan namun tidak mampu untuk meggerakkannya sedikitpun, hatiku rasa amat lemah. Sedangkan aku juga tidak punya jawapan terhadap persoalan-persoalan itu. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Mindaku dikerah hebat untuk berfikir mencari jawapan namun buntu..aku buntu..kerana yang ku punya bukanlan jawapan tetapi alasan..alasan semuanya..
Dia berkata lagi,
“Aku anugerahkan kamu sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu kelebihan berbanding insan lain, untuk kamu berjuang di jalanku. Tetapi tetap jua, kamu berpaling dari jalanku. Aku tunjukkan padamu kebenaran ayat-ayatku, hidayah sebagai panduan buatmu dalam menjalani hidup ini, dan ia tidaklah Aku anugerahkan kepada semua hambaKu, tetapi tetap saja kamu tidak mahu mempelajarinya dengan baik. Hanya sambil lewa kamu mengambilnya, apa yang mudah saja untukmu yang kamu amal. Acapkali aku berkata-kata kepadamu tetapi kamu hanya memandang sekilas saja lantas berpaling kepada dunia. Aku ceritakan padamu tentang pesuruhKu, bagaimana perjalanan perjuangannya di jalanKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku mendengar segala permintaan dan rayuanmu padaKu, dan semua itu aku perkenankan dengan pelbagai cara..”
Sambungnya lagi,
“Kini, adakah kamu masih benar menyintaiku?”
Aku tidak mampu menjawabnya. Bagaimana untukku menjawab sedangkan aku amat malu dengan kebenaran semua yang diperkatakannya itu. Amat benar. Aku malu dengan apa yang telah kulakukan selama ini. Aku sudah tidak punya alasan lagi bagi menyelamatkan diriku ini. Apa yang boleh aku jawab?
Aku menangis tersedu-sedu. Air mataku serasa sudah tidak mampu dihentikan. Aku merintih di dalam hatiku,
‘Oh tuhanku, ampunilah daku..ampunilah daku..’
Kemudian dia menjawab,
“SifatKu Maha Pengampun, barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya aku ampunkan.”
Aku lantas punya kekuatan untuk kembali bicara,
“Ya Tuhanku, mengapa..Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Begitu sekalikah cintaMu padaku yang hina ini?”
Dia menjawab,
“Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis Aku akan mengasihani dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu gembira, Aku turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu merasa gundah dan kesepian, Aku akan menghembuskan semangat buatmu. Apabila kamu jatuh, dengan kuasaKu Aku membangkitkan kamu kembali. Apabila kamu merasa keletihan, Aku akan membantumu. Aku sentiasa ada bersamamu sehingga ke hari akhirmu dan akan tetap menyayangimu.”
DAN..aku terjaga dari mimpiku..belum pernah aku menangis sehebat ini, wajahku dibasahi dengan airmata.. Begitu keraskah hatiku sehingga Dia menyampaikan petunjuk ini agar aku menyesali dosa-dosaku.. Dan buat pertama kalinya, aku sujud padaNya dengan sujud yang sebenar-benarnya..
Q'A: Sudah terasa amat beratnya Ya Allah..
Q'A: Sudah terasa amat beratnya Ya Allah..
No comments:
Post a Comment