Sunday, April 3, 2011

Untuk Badan, Untuk Akal...Untuk Tuhan Saudara

Membaca tulisan Imam As-Syahid Hassan Al Banna, 'Usrah dan Dakwah', Qalam ‘Aini terpanggil untuk  kongsikan beberapa kewajipan kita semua, sebagai saudara se Islam. Tulisan ini asalnya dari bab yang bertajuk ‘Kewajipan Angkatan Ikhwan’. ‘Ikhwan’, namun bila di baca teliti, ia sebenar ditujukan kepada semua umat Islam yang sedang dalam perjalanan dan perjuangan panjang menegakkan syariat Islam bumi Allah ini. Ya, setiap yang bernama muslim itu sebenarnya sedang dalam perjuangan, hanya saja berbeza wasilah (jalan/cara) samada terikat dengan perjuangan secara berjemaah, persatuan, parti politik, badan ilmu ataupun individual. Bagi yang individual, fikirkanlah semula adakah benar cara individual itu sedangkan dalam hal solat itu pun kita disuruh untuk menunaikan secara berjemaah, bacaan Al-Fatihah yang dibaca ketika solat itu pun, menggunakan kata nama ‘kami’ dalam setiap baitnya, bukan kata nama ‘saya’ atau ‘aku’. “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan (bukan pula) jalan mereka yang sesat”-Al-Fatihah: 5-7. Carilah jemaah-jemaah, usrah-usrah, badan-badan dakwah, di masjid dan di mana-mana, bergabunglah dengan mereka.

Kewajipan Saudara Islam oleh Imam Hassan Al-Banna

Pertama: Untuk Badan Saudara.
  • Hendaklah saudara segera berjumpa doktor untuk diperiksa kesihatan umum saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit maka hendaklah saudara segera berubat. Selain dari itu hendaklah saudara sentiasa mengambil berat tentang punca-punca kekuatan badan saudara dan cara-cara bagaimana memeliharanya dari segi kesihatan. Di samping itu hendaklah saudara menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang boleh melemahkan kesihatan badan saudara.
  • Hendaklah saudara menjaga kebersihan di dalam semua hal – iaitu samada dalam rumahtangga, pakaian, makan-minum, tubuh badan, mahupun tempat kerja dengan sebersih-bersihnya; kerana islam itu diasaskan atas dasar ‘Kebersihan’.
  •  Hendaklah saudara tidak meminum kopi atau teh berlebih-lebihan dan apa-apa jua minuman penyegar seperti itu; malah seboleh-bolehnya cubalah jangan sama sekali menghisap rokok.
  • Hendaklah saudara mengamalkan apa-apa jenis riadah badan walaupun dengan cara hanya sekadar berjalan-jalan kaki sahaja; dan hendaklah saudara menjadi ahli di dalam mana-mana “Pasukan Pengembara” jika umur saudara munasabah dengannya.
  • Hendaklah saudara menjauhkan diri sama sekali daripada arak, minuman-minuman keras yang memabukkan dan minuman-minuman yang boleh melemahkan kesihatan badan atau apa jua minuman yang merbahaya seperti itu.


Kedua: Untuk Akal Saudara
  •  Hendaklah saudara dapat membaca dan menulis dengan baik. 
  • Hendaklah saudara belajar membaca dan menulis jika saudara belum dapat berbuat demikian. Hendaklah saudara sentiasa berusaha untuk dapat ebrbuat demikian.
  • Hendaklah saudara sentiasa membaca akhabar-akhbar dan majalah-majalah. Hendaklah juga saudara mempunyai sebuah kutub-khanah khas untuk saudara sendiri walaupun kecil supaya saudara berpeluang mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian yang sudah ada pada diri saudara jika saudara adalah termasuk ke dalam mana-mana golongan iktisas dalam satu-satu bidang pengetahuan. Saudara hendaklah juga memiliki pengalaman berkenaan urusan-urusan agama islam kira-kira membolehkan saudara menggambarkan hakikatnya dan menimbang samada sesuai atau tidak satu-satu perkara itu dengan tujuan-tujuan dakwah kita.
  • Hendaklah saudara dapat membaca Al-Quran dengan betul. Dan juga hendaklah saudara dapat mendengar serta memikirkan ertinya. Juga saudara dikehendaki mempelajari “Sirah” ATAU Perjalanan Rasulullah dan sejarah angkatan “As-sala-fus Saa-lih” atau yang sangat “mustahak” mengenai asas-asas Aqidah, asas-asas hukum dan juga rahsia-rahsia Syariat Tuhan.


Ketiga: Untuk Budi Pekerti Saudara
  •  Hendaklah saudara sentiasa di dalam keadaaan segar mekar dan cergas, berperasaan halus dan sensitive, mudah terkesan samada sesuatu yang baik mahupun terhadap sesuatu yang buruk; samada terhadap perkataan-perkataan mahupun terhadap perbuatan.
  • Hendaklah saudara sentiasa bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta; hendaklah saudara kuat kemahuan dan janganlah teragak-agak di dalam sesuatu perkara, yang benar dan hendaklah saudara sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawas diri sendiri ketika marah.
  • Hendaklah saudara bersikap berani, sanggup memikul bebanan, dan semulia-mulia keberanian ialah berani berterus-terang dengan perkara yang benar.
  • Hendaklah saudara bersikap gagah dengan cara sentiasa bersungguh dalam sesuatu perkara. Kegagahan sikap seperti itu tidaklah pula sampai menghalang saudara dan bergurau dengan yang benar dan ketawa dengan senyum dan dengan tidak mengada-ngada.
  • Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang jahat dan daripada kawan yang rosak seperti mana saudara juga hendaklah menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan dosa.


Keempat: Untuk Saku Saudara
  •  Hendaklah saudara membuat apa juga kerja yang halal yang boleh mendatangkan rezeki sekalipun kalau saudara sudah kaya-raya dan juga hendaklah saudara memilih kerja yang bersungguh dan mencubanya seberapa daya upaya walaupun kerja itu sukar, bahkan hendaklah saudara tekun sehingga berjaya di dalam satu-satu kerja.
  •  Janganlah saudara terlalu sibuk mencari kerja di pejabat-pejabat kerajaan, akan tetapi janganlah pula saudara menolaknya jika peluang mendatang dan jangan lepaskan kerja yang sudah saudara dapat kecuali jika kerja itu benar-benar berlawanan dengan tugas-tugas Gerakan Dakwah kita.
  • Hendaklah saudara sentiasa  berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas saudara dengan cukup amanah dengan sekali-kali tidak menipu, bahkan hendaklah saudara emnunaikan kewajipan itu dengan tepat pada waktunya dan tepat pada masa janjinnya.
  • Hendaklah saudara menjauhkan diri dari permainan judi walaupun apa jua coraknya dan walaupun apa jua tujuan yang ada disebaliknya. Hendaklah saudara juga menjauhkan diri daripapada cara-cara penghasilan haram walaupun sebaliknya itu terdapat keuntungan yang segera.
  • Hendaklah saudara menjauhkan diri dari amalan riba’ di dalam apa jua muamalah jual beli malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang aliran riba itu.
  • Hendaklah saudara menyimpan sebahagian daripada wang saudara untuk masa kecemasan walaupun simpanan itu sedikit sahaja, dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus ke dalam perbelanjaan yang tidak mustahak.
  • Hendaklah saudara memerangi tempat-tempat permainan kotor; jangan menghampirinya dan hendaklah saudara menjauhkan diri daripada cara hidup bermewah-mewah, berlebih-lebihan dan membazir.
  • Hendaklah saudara mengguna harta umum umat islam itu kepada jalan-jalan yang menggalakkkan perusahaan dan pembangunan ekonomi islam. Hendaklah saudara berjaga-jaga supaya jangan sampai keciciran wang itu walau sesen sekalipun ke tangan pihak bukan islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hendaklah saudara jangan memakai melainkan barang-barang buatan tanah air saudara sendiri.


Kelima: Untuk orang Lain
  •  Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum walau apa jua perkaranya. Janganlah saudara lupakan kebaikan orang lain sebab saudara marah; dan sebaliknya pula, janganlah saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan mereka itu kerana saudara sayangkan mereka. Budi baik orang lain hendaklah dikenang walaupun ketika dalam keadaan permusuhan. Hendaklah saudara bercakap benar walaupun terhadap diri sendiri atau terhadap orang yang paling hamper dengan saudara sekalipun bercakap benar itu pahit.
  •  Hendaklah saudara cergas dan mahir dalam membuat perkara kebajikan am. Kecergasan ini dapat diukur dengan perasaan gembira saudara ketika saudara dapat member khidmat kepada orang lain. Untuk mencapai maksud itu hendaklah saudara menziarahi orang-orang sakit, menolong orang-orang yang berhajat, menanggung bebanan orang-orang yang lemah dan melapangkan dada orang-orang yang ditimpa kemalangan atau bencana walaupun hanya sekadar dengan cakap-cakap yang “melegakan hati”. Tegasnya, hendaklah saudara segera melakukan kebajikan walau apa jua coraknya.
  • Hendaklah saudara bersifat belas kasihan dan bertolak ansur. Dalam hal ini hendaklah saudara memaaf dan mengampun kesilapan-kesilapan orang lain. Belas kasihan ini bukan sahaja sesame manusia akan tetapi juga terhadap makhluk haiwan. Hendaklah saudara bermuamalah dengan orang lain secara yang baik; sentiasalah berkelakuan baik terhadap orang ramai dan hendaklah saudara memelihara sopan santun secara islam dalam pergaulan seharian iaitu dengan menaruh perasaan belas kasihan kepada yang kecil dan menghormati orang tua, melapangkan tempat ketika di dalam mana-mana majlis perhimpunan ramai. Janganlah saudara mengintai-ngintai atau mengumpat-ngumpat; jangan menceroboh bahkan hendaklah saudara terlebih dahulu meminta izin ketika hendak ke satu-satu tempat dan begitu juga ketika hendak keluar dari sesuatu tempat.
  • Hendaklah saudara meminta hak saudara dengan cara yang baik dan hendaklah menunai hak orang lain dengan sepenuhnya dengan tidak payah dituntut dengan tidak lengah-lengah lagi.


Keenam: Untuk Gerakan Dakwah Saudara
  •  Hendaklah saudara melepaskan diri dari berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak member faedah kepada pergerakan dakwah kita terutama jika saudara disuruh berhubung dengan badan-badan atau kumpulan-kumpulan seperti itu.
  • Hendaklah saudara sedaya upaya menghidupkan adat-adat dagang dalam semua lapangan hidup. Di antara adat-adat ini ialah cara-cara member hormat, bertutur bahasa, penggunaaan bahasa, pakaian dan masa-masa bekerja.
  • Hendaklah saudara tidak menonjolkan diri  (iaitu memulau) apa jua mahkamah bukan islam iaitu dengan jalan saudara tidak berhakimkan dengannya kecuali terpaksa, begitu juga saudara janganlah pergi ke kelab-kelab bukan islam, akhbar-akhbar, kumpulan-kumpulan, sekolah-sekolah dan badan-badan serta perbadanan yang menentang ideology islam. Pemulauan ini hendaklah saudara lakukan secara bersungguh-sungguh.
  • Hendaklah saudara kenal siapa anggota cawangan yang saudara sendiri berada di dalamnya iaitu hendaklah saudara kenal mereka tiap seoran dengan kenalan yang penuh dan di samping itu saudara pula hendaklah memperkenalkan diri saudara kepada meerka dengan sejelas-jelasnya sambil menunjukkan bahawa saudara benar-benar merasai kasih saying, penghargaan, sanggup menghulur pertolongan, dan saudara hendaklah membuktikan bahawa saudara mengutamakn kepentingan mereka ke atas kepentingan saudara sendiri. Saudara janganlah tidak menghadiri majlis mereka itu kecuali dengan sebab-sebab yang sangat memaksa tidak dapat dielakkan sama sekali. Tegasnya, saudara hendaklah membuktikan di dalam muamalah seharian bahwa saudara benar-benar mengutamakan mereka dan menunjukkan kasih saying saudara kepda mereka sepanjang masa.
  • Hendaklah saudara bekerja untuk menyiarkan seruan dakwah ideology kita ini pada segenap teluk dan rantau, dan juga hendaklah saudara corakkan rumah tangga, keluarga dan sesiapa jua yang berhubung dengan saudara dengan corak keislaman. Hendaklah saudara sentiasa berhubung rapat dengan pucuk pimpinan dari segi jiwa dan amalan malah saudara hendaklah terlebih dahulu meminta persetujuan mereka dalam setiap langkah di samping menganggap diri saudara sendiri sebagai seorang askar yang sentaisa dalam keadaaan siap sedia dan hanya menunggu perintah untuk bertindak.


Ketujuh: Untuk Tuhan Saudara
  • Hendaklah saudara jangan terputus dan mengawasi Allah. Sentiasalah berniat ikhlas kerana Allah dalam sebarang pekerjaan. Saudara hendaklah sentiasa beringat-ingat serta bersedia untuk ke akhirat; iaitu dengan jalan beramal dengan ibadat-ibadat yang sunnah untuk menghampirkan diri kepada Allah; hendaklah saudara memperbanyak zikrullah dalam semua hal serta berdoa dengan doa-doa yang ma’thur yang pernah diamalkan oleh Rasulullah saw dalam setiap keadaan.
  • Hendaklah saudara mengamalkan wirid-wirid yang khas bagi ikhwan muslimin dan janganlah saudara mengecualikannya melainkan sebab satu-satu keadaan yang cemas dan memaksa.
  • Hendaklah saudara memelihara kebersihan samada tentang perkara-perkara yang nyata mahupun perkara-perakra ma’nawi dan seboleh-bolehnya hendak saudara snetiasa berada di dalam keadaan berwudhu’.
  • Hendaklah saudara tahu sembahyang dengan betul dan menunaikannya pada waktu-waktunya yang di tentukan dan seboleh-bolehnya hendaklah saudara selalu ke majlis dan berjemaah di sana.
  • Hendaklah saudara berpuasa pada bulan Ramadhan dengan baiknya.
  • Hendaklah saudara menunaikan fardhu Haji jika mampu, akan tetapi jika belum mampu, maka hendaklah saudara bekerja untuknya dari sekarang lagi.
  • Hendaklah saudara sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar meminta ampun kepada Tuhan. Sauadra hendaklah menjauhkan diri dari segala dosa; bukan sahaja dosa besar bahkan dosa kecil sekalipun hendaklah saudara menjauhinya.
  • Hendaklah saudara menjaga masa kerana masa itu umur saudara; oleh itu hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara subahat iaitu yang samar-samar hukumnya supaya dengan menjauhkan diri darinya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara haram.
  • Hendaklah saudara melawan diri sendiri dengan sehebat-hebatnya supaya mudah saudara memimpin diri sendiri. Kawallah mata dan perasaan hati snediri, dan kuasailah desakan-desakan kemahuan semulajadi di dalam diri saudara dan halakanlah semuanya itu kepada perkara-perkara yang halal lagi baik. Elakkan diri dari apa jua perkara yang haram walau apa jua coraknya.


Dan untuk semuanya tadi,
Hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaaan niat berjihad untuknya sedaya upaya.
Sebelum tidur hendaklah saudara memperuntukkan masa selama satu jam untuk menyoal diri sendiri tentang sejauh mana dan sebanyak mana saudara menunaikan kewajiapan itu? Jika saudara dapati jawapannya baik maka bersyukurlah kepada Allah; akan tetapi jika saudara dapati kekurangan maka pintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNYA, malah hendaklah saudara pinta pertolongan daripadaNYA kerana Allah itu sebaik-baik Pengawal dan sebaik-baik Pembantu.




Q'A: 
Maaf bagi typing error jika ada dimana-mana..kerana sedang berusaha untuk menaip dengan pantas dari buku asal ditambah pula dengan kepadatan traffic minda akibat kuliah hari ini..insya allah akan diedit semula pada masa akan datang..sedikit dari tulisan ini Q'A telah olah dengan ayat sendiri untuk memudahkan pembacaan dan pemahaman..moga bermanfaat..

"Kata-kata indah dan nasihat itu ibarat fatamorgana realiti bagi insan yang sentiasa dahagakannya"
(^_^)

No comments: