Saturday, June 11, 2011

Kisah sehelai daun hijau

Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga di mana-mana pepohonan tampak menghijau. Kelihatan seekor ulat kecil yang comel berwarna krim kekuningan di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang ditempa angin.
"Apa khabar daun hijau?" sapanya tersenyum-senyum.. Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara comel yang datang.
"Oh, kamu ulat.. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa ni?" tanya daun hijau.
"Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku.. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil yang comel itu dengan nada kesedihan.
"Tentu, tentu. Marilah ke mari.." jawab daun hijau dengan ceria.
Daun hijau itu berfikir, jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat kecil, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi, tak apalah. Perlahan-lahan ulat kecil itu menggerakkan tubuhnya menuju ke arah daun hijau.
Setelah makan sehingga kenyang, ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan sebahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat kecil. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Walaupun dirinya kini berlubang di sana sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu untuk ulat kecil yang lapar.
Tidak lama berselang ketika musim panas datang, daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar..

Sahabat..

Demikianlah juga kehidupan kita. Apakah yang terlalu bererti dalam hidup kita sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja untuk orang lain? Berkongsi kesenangan dan kepentingan diri sendiri memang tidak mudah, tetapi indah. Lihat sahaja si daun hijau. Sampai masanya ia kering kekuningan lalu gugur menyembah bumi, dinjak-injak orang lalu. Apa bezanya dengan kita ini, sampai masanya akan berpisah nyawa dari badan dan akan ditanam di dalam perut bumi.
Jadikanlah berkorban itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan membawa kebahagiaan tersendiri bagi kita. Sahabat, kutahu kau sendiri mengakui kenyataan ini; bahawa kita tidak akan rugi apa-apa pun dengan memberi, sebaliknya Allah akan lebih memberkati dan tetap memelihara kita. Jika engkau melihat pada zahirnya, itu terserah padamu untuk menilai. Namun setiap keping hati yang dicipta Ilahi ini, lebih arif dalam menilai kehendak fitrahnya. Apa yang kita berikan kepada orang lain, itulah yang akan kita miliki. Allah itu lebih mengetahui apa yang ada di dalam hatimu..



..Ulat kecil itu kini telah menjadi seekor rama-rama yang cantik. Ia bahagia kini, dapat terbang bebas ke taman-taman bunga menikmati madu yang beraneka rasa setiap hari. Hari ini, ia terbang melintasi pohon tempat bermainnya suatu ketika dulu. 'Dulu' itu bukanlah lama benar, hanya 2 minggu, namun ia lama bagi seekor rama-rama spesisnya. Dan baru 2 minngu yang lepas dia bertukar status dari seekor ulat kepada rama-rama. Hatinya begitu rindu kepada sehelai daun yang pernah berjasa besar padanya. Dia menilik satu persatu. Ternyata daun itu sudah tiada. Hatinya diulit hiba. Di mana lagi dia dapat mencari sekeping hati mulia seperti daun hijau. Hari itu, dia merintih sedih. Sepanjang hari dia berdoa agar Tuhan menemukannya kembali dengan daun hijau. Doanya termakbul dan kesedihannya tidak lama, pada petangnya dia sudah menjadi seekor bangkai. Kerana dia seekor rama-rama, hdupnya hanya dua minggu, itupun sudah terlalu lama baginya. Kini, si rama-rama (si ulat kecil) dan si daun hijau, sedang bercanda mesra di sebuah pohon rendang nan hijau, di sebuah tempat bernama syurga.. TAMAT..


Q'A: Nukilan ceritera di petang hari.. (^_~) Mode: Rasa bersalah dengan seekor ikan..semoga dia hidup dan membesar dengan sihat..

2 comments:

Unknown said...

tahniah.cerita yang simple, tapi banyak pengisian.=)

*pertama kali singgah di sini.semoga ini jadi titik pertemuan ilmu*

Qalam'Aini said...

@Aku Tulis,
alhamdulillah..(^_^)

Q'A: iya, moga ini jadi titik perkongsian ilmu, ilmu yang akan menjadi bekalan di sana..insya allah..Aku Tulis pn nmpknye banyak menulis cerita jga ye, dh tahap novel dah tu, nice, keep up2..insya allah saya follow baca..(^_^)