Thursday, November 19, 2015

Kisah Hidrogen, Kimia, Sushi..

Bismillaahirrahmaanirrahiim
Assalamualaikum
Sambil menunggu nasi masak saya membelek satu jurnal. Oleh kerana saya tidak menggunakan periuk elektrik, saya awal2 lagi sudah set masa supaya saya tidak leka dan nasi saya tidak bertukar kepada warna hitam. Siapa nak makan sushi warna hitam?
Tajuk, “Upper bound and best estimate of the efficiency of the.....”. Citation 200 lebih. Terbitan 2005. Kiranya si penulis jurnal ni, bernama Goldstein ni boleh dikatakan abang long bidang ni. Saya angguk2 kagum sambil menggaru kepala yang bertutup dengan topi chef warna warni kegemaran saya. Kisahnya tentang produksi minyak hidrogen daripada air. Proses pengeluaran secara termokimia ini dibina pertama kali oleh sebuah agensi Amarikka namanya General Atomic pada tahun 1986. Ia menggunakan suhu yang sangat tinggi hampir 1000 darjah selsius. Huh?! Saya mengeluh sendiri. Pastilah tenaga yang relevan untuk proses ni hanya tenaga nuklear, tak pun tenaga solar lanjutan. Hampir 30 tahun yang lalu ia bermula dan sehingga sekarang masih aktif membuat penyelidikan dan menerbitkan jurnal berkaitan proses ini. Namun ia masih belum dapat dikomersilkan sehingga kini. Mereka menjangkakan akan berjaya mengeluarkan secara skala industri pada tahun 2015. Itu ialah sekarang.
SAYA BERANGAN..
Suatu hari nanti kita hanya perlu mengisi tangki minyak menggunakan air saja dan ia akan menukarkan air kepada minyak hidrogen menggunakan build in technology. Alangkah indahnya, alangkah mudahnya, alangkah murahnya !
Tit tit tit tit ! ! !
Nasi sudah masak. Saya berlari dari meja belajar ke dapur. Saya kaupkan nasi ke dalam bekas. Cuka dengan sukatan khas saya campurkan ke dalam nasi. Aroma wangi tindak balas kimianya menusuk ke dalam hidung. Glukosa akhirnya bertemu Asid. Kumpulan OH dalam nasi panas akan terproton oleh asid dari cuka. Kemudian ikatan kasih sayang antara oksigen dan lingkaran karbon akan terkorban dan menghasilkan air yang suci. Hasilnya nasi sushi akan menjadi licin semasa digaul dan tidak lama kemudian jadi melekat antara satu sama lain setelah haba nasi menghilang dan ikatan kasih sayang kembali subur. Kali ini, ikatan yang terhasil lebih erat daripada sebelumnya. Selawat meniti di bibir.
Jurnal itu, saya akan sambung baca selepas ini. Apa lagi agaknya rahsia yang si Goldstein ni dah korek daripada General Atomic? Akhirnya sudah disahkan bahawa air memang boleh ditukar menjadi minyak. Saya semakin ingin tahu.
“Dan dari air Kami jadikan setiap sesuatu yang hidup.” (QS. Al Anbiya:30)
Ummu Naufal
~alkisah sebuah elektron di alam kimiayang

No comments: